MENAMPILKAN Diana Danielle, Hafidz Roshdi, Taib Zamannuri, Puteri Aishah dan Ariff Aziz sebagai barisan pelakon utama, Raisha merupakan sebuah siri drama yang ditayangkan di slot Lestary dalam saluran TV3.
Ia merupakan sebuah drama yang diarahkan oleh Nizam Zakaria dan diterbitkan oleh OrangeTree Production.
Di samping itu, siri drama ini juga turut dibintangi oleh Aishah Azman, Tash Yong, Abil, Tunku Hanis, Megat Amir, Adam Lee, Rais Hazlin, Laila Nasir, Noniswira, Ridzuan Hashim, Kismah Johari, Zarina Zainuddin, Rahim Jailani, Aishah Atan, Tunku Hanis, Putra Amaris dan Ainin Batrisya.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai seorang gadis materialistik yang bernama Raisha lakonan Diana Danielle.
Raisha telah dilahirkan dari keluarga yang serba kesusahan. Ibu bapanya, Samsudin lakonan Rahim Jailani dan Arfah lakonan Laila Nasir yang telah berkahwin beberapa tahun, menghadapi kesusahan untuk mendapat zuriat.
Namun, setelah berjaya melahirkan Raisha, Arfah ditimpa kemalangan dan meninggal dunia. Tragedi ini memberi impak yang amat dalam kepada Raisha.
Walaupun kehidupan Raisha di kampung serba kekurangan, Samsudin sentiasa memberikan pakaian dan barangan yang elok untuk puterinya itu.
Masa berlalu dan Raisha sudah pun meningkat dewasa. Terbiasa dengan sifat ayahnya yang sentiasa menurut kehendaknya, Raisha membesar menjadi seorang yang kuat memberontak apabila permintaannya tidak diturutkan.
Oleh itu, Raisha dan Samsudin sering tidak sehaluan dan mereka sering mengadu nasib di kubur Arfah.

Sifat manja Raisha semakin menjadi-menjadi apabila dia mula melanjutkan pelajarannya di sebuah institut pengajian tinggi swasta.
Hal ini kerana, kebebasan tanpa pengawasan penuh ayahnya yang sentiasa diidamkan Raisha sudah pun tercapai.
Di Kuala Lumpur, Raisha berkenalan dengan pelbagai jenis orang di kolejnya termasuk golongan kaya dan golongan industri fesyen.
Berbekalkan dengan kecantikan Raisha, Raisha sering ditawarkan untuk menjadi peragawati.
Bermula dari situ, kehidupan Raisha semakin liar dan mula ke kelab malam dan bekerja sebagai peneman sosial (escort) bersama rakannya Melly.
Namun, kebahagiaan yang dirasakan Raisha ketika itu mula berubah apabila kelab malam mereka dikepung pihak berkuasa dan menangkap semua peneman sosial termasuk Raisha dan Melly.
Bagaimanakah kesudahan kehidupan Raisha dan adakah dia berpeluang untuk kembali bangkit sekaligus menjalani kehidupan yang lebih positif. Untuk mengetahui kesudahan kisah dalam siri drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Raisha yang ditayangkan pada setiap hari Rabu dan Khamis pada jam 9 malam di slot Lestary di saluran TV3.