Bangkit, semangat dan terus berusaha asas kejayaan

Oleh Lenna N.B.

 

“RAMAI yang tidak mengetahui mengenai langkah penjagaan badan kereta agar sentiasa berkilau dan tidak rosak oleh fenomena kejadian alam. Hujan, cahaya matahari, najis burung dan lain-lain semuanya boleh memberi kesan kepada warna cat kereta, tetapi kami telah menemui solusi untuk masalah tersebut. Malah, penjagaan kereta yang tepat juga dapat mengurangkan kadar perbelanjaan jangka masa panjang,” ucap Awang Abdul Azim bin Azmain, 26, Pengurus dan Pemilik Syarikat Ultra Slick Detailing.

Hilang sumber rezeki

Mengimbas kembali pengalaman hidupnya, Awang Abdul Azim sebelum ini pernah kehilangan sumber rezeki setelah cukup berpengalaman selama bertahun-tahun bekerja di salah sebuah syarikat sektor minyak dan gas, tiba-tiba telah diberhentikan perkhidmatannya.

Selaku seorang yang berkeluarga, setentunya perkara tersebut adalah cabaran hebat baginya. Apatah lagi, permohonan beliau terhadap enam jawatan yang sesuai dengan pengalaman dan kelulusannya berakhir dengan penolakan yang setentunya sangat menyedihkan.

Dari situ, Awang Abdul Azim telah mengambil keputusan untuk membuka perniagaannya yang sendiri.

Seluruh kru di sebalik Ultra Slick Detailing.
Seluruh kru di sebalik Ultra Slick Detailing.
Awang Abdul Azim ketika diteruramah, baru-baru ini.
Awang Abdul Azim ketika diteruramah, baru-baru ini.
Sijil milik Awang Abdul Azim yang diperakui di dalam bidang detailer.
Sijil milik Awang Abdul Azim yang diperakui di dalam bidang detailer.

“Sebelum ini, perihal menjaga kereta hanya saya anggap sebagai satu aktiviti sampingan. Semuanya bermula apabila ayah memberikan hadiah sebuah kereta kepada saya. Oleh kerana risau fizikal badan kereta itu akan berubah warna, saya mencari produk-produk tertentu untuk memastikan warna catnya sentiasa terjaga. Sehinggalah, keluarga dan saudara-mara turut inginkan perkhidmatan saya. Sejak itulah, setiap kali balik kerja daripada laut, saya akan membuka perniagaan sampingan dengan menawarkan khidmat pembersihan atau penyucian kereta,” jelas Awang Abdul Azim.

Setelah diberhentikan kerja dan hilang sumber rezeki, Awang Abdul Azim akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak secara serius dalam perniagaannya apatah lagi dengan kemahiran dan pengetahuannya yang sedia ada.

Bermula dengan bekerja seorang diri, perkhidmatannya kian dikenali dan permintaan orang ramai juga semakin meningkat, sehingga mendorang Awang Abdul Azim untuk mengambil pekerja yang terdiri daripada warga tempatan sendiri.

“Pada mulanya, saya banyak belajar dari Internet sehinggalah saya mengambil kursus yang lebih terperinci di luar negara. Dengan adanya pengalaman dan kemahiran ini, saya lebih yakin untuk dapat berkembang lebih jauh dalam perniagaan ini,” jelas Awang Abdul Azim.

Awang Abdul Azim mempunyai sijil yang diperakui dalam bidang detailer dan Car Pro. Perkhidmatan cucian kereta yang ditawarkan bukan sahaja terdiri daripada cucian biasa, tetapi juga merangkumi hal-hal terperinci dalam penjagaan dan perlindungan permukaan fizikal kereta,

Perkongsian pengetahuan

Bagi Awang Abdul Azim, membuka perniagaan ini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan cucian kereta atau hal-hal yang terperinci tentang penjagaan cat kereta, tetapi juga sebagai medium untuk mengongsikan pengetahuan kepada orang ramai.

“Kita selama ini tidak menyedari mengenai cara cucian kita adalah salah, atau boleh merosakkan kereta. Dalam fikiran kita, selagi kereta itu bersih dicuci, dilap, maka kita telah menjaganya dengan baik tetapi kita tidak sedar bahawa warna cat kereta tidak sesempurna sebagaimana waktu awal kita membelinya, sehingga memperlihatkan keadaan calar-balar di bahagian kereta, dan sebagainya. Walhal semuanya adalah disebabkan oleh cara cucian kita selama ini yang salah atau kurang betul. Oleh itu, saya ingin membantu untuk mendedahkan mengenai cara cucian yang betul, pencuci kereta yang dipercayai dan sebagainya kepada para pelanggan,” jelas Awang Abdul Azim.

Kerjasama dalam memberikan hasil yang berkualiti dan memuaskan kepada setiap pelanggan.
Kerjasama dalam memberikan hasil yang berkualiti dan memuaskan kepada setiap pelanggan.
Proses pencucian kereta bagi memberikan penampilan warna cat yang lebih berkilat.
Proses pencucian kereta bagi memberikan penampilan warna cat yang lebih berkilat.
Proses pengeringan selepas kerja-kerja pencucian.
Proses pengeringan selepas kerja-kerja pencucian.

Menurut beliau, salah satu perkara yang selalu terjadi adalah penggunaan cucian kereta dengan menggunakan sabun atau pencuci bukan khas untuk kereta seperti pencuci piring, pencuci baju dan sebagainya.

“Seperti yang kita ketahui, pencuci piring adalah dikhaskan untuk mencuci piring-piring membuang kotoran makanan yang berminyak, sementara produk pencuci baju pula mengandungi bahan kimia untuk membuang kotoran baju yang degil, tetapi bahan-bahan ini sebenarnya boleh merosakkan warna cat kereta. Sama ada memudarkan warna cat atau sebagainya. Ia bukannya produk yang dicipta khas untuk cucian kereta, jadi kesannya akan merosakkan badan kereta yang asalnya berkilat dan cantik. Oleh itu, jika kita ingin mencuci kereta, pastikan kita memakai produk sabun yang memang digunakan khas untuk kereta, bukan pencuci baju atau piring,” jelas Awang Abdul Azim.

Tambah beliau, cucian-cucian yang bukan khas untuk kereta ini juga boleh mematikan perlindungan pada warna cat kereta. Perlindungan cat kereta adalah salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Ultra Slick Detailing.

“Badan kereta diperbuat daripada beberapa lapis, dari besi hinggalah ke cat, dan lapisan akhir berperanan untuk menjadikan warna cat kereta berkilau. Namun tanpa perlindungan, lapisan tersebut akan terkikis dan setelah beberapa tahun, cat kereta juga ikut rosak. Oleh itu, untuk mengelak daripada berbelanja besar untuk mencat semula kereta, dan sebagainya, kami turut menawarkan perkhidmatan perlindungan yang dinamakan sebagai ‘seal’ di mana menjadi lapisan di luar untuk melindungi kilauan dan cat kereta,” jelas Awang Abdul Azim.

Perlindungan tersebut berperanan untuk melindungi badan kereta daripada kesan-kesan alam sekitar seperti air hujan yang boleh meninggalkan kesan calar di atas permukaan kereta dan meninggalkan kesan kekal, bahan kimia yang lain seperti najis burung dan lain-lain yang juga boleh menjadi kesan kekal tanpa perlindungan, sinaran matahari yang lama-kelamaan boleh merosakkan permukaan kereta terutama jika kereta yang terdedah pada cahaya matahari bagi jangka masa yang panjang dan banyak lagi.

“Kami cuba untuk berkongsi pengetahuan ini dengan sebaik mungkin walaupun sebuah kereta baru itu juga memerlukan perlindungan warna cat kereta. Jika kita lihat kereta-kereta di jalan raya, kelihatan banyak warna catnya yang tidak terlindungi. Bukan sahaja disebabkan oleh fenomena kejadian alam tetapi juga kerana cara cucian atau penjagaan yang kurang tepat. Oleh itu, kami berperanan penting untuk menyebarkan pengetahuan ini kepada orang ramai,” jelas Awang Abdul Azim.

Bahagian rim dicuci dengan menggunakan berus khas bagi memastikan kotoran-kotoran kecil turut dibersihkan.
Bahagian rim dicuci dengan menggunakan berus khas bagi memastikan kotoran-kotoran kecil turut dibersihkan.
Setiap cucian yang dilakukan di setiap sudut badan kenderaan dilakukan dengan sangat teliti.
Setiap cucian yang dilakukan di setiap sudut badan kenderaan dilakukan dengan sangat teliti.
Selepas perlindungan, air menjadi berketul-ketul di atas permukaan menandakan ia tidak meresap ke dalam cat kereta.
Selepas perlindungan, air menjadi berketul-ketul di atas permukaan menandakan ia tidak meresap ke dalam cat kereta.

Menurut Awang Abdul Azim, peranan Ultra Slick Detailing tidak terbatas daripada menyediakan perkhidmatan cucian dan perlindungan warna cat kereta tetapi mengongsikan pengetahuan sebanyak mungkin melalui media sosial mengenai keselamatan jalan raya, penjagaan kereta dan sebagainya.

Cucian terperinci

“Kami bukan sekadar melakukan cucian biasa di mana asal kereta bersabun, tetapi kami amat terperinci dalam setiap langkah kami lakukan. Bermula dari membersihkan bahagian dalam kereta, beralih kepada tayar dan rim, sehinggalah ke badan kenderaan,” jelas Awang Abdul Azim.

Menurut beliau, mereka tidak mahu cara cucian yang boleh menyebabkan partikel-partikel kecil dari dalam kereta atau tayar berpindah ke badan kereta yang meninggalkan calar-calar tertentu. Justeru itu, setiap langkah mereka perlu dilakukan dengan berhati-hati, termasuklah peralatan untuk mencuci kereta.

“Alhamdullillah sehingga hari ini kami mendapat respon yang baik daripada orang ramai. Malah ada yang datang dari jauh, dari bandar sanggup turun ke Kuala Belait demi mendapatkan perkhidmatan kami. Setakat ini, kami belum mempunyai cawangan di bandar. Kami hanya beroperasi di Kuala Belait. InsyaAllah di perancangan di masa akan datang, mungkin kami akan mengembangkan perniagaan ini ke bandar kerana permintaan orang ramai sentiasa tinggi,” ucap Awang Abdul Azim.

Di samping itu, Ultra Slick Detailing turut memperkenalkan cucian premium mereka yang agak berbeza daripada cucian biasa, mengongsikan pengetahuan dengan pelanggan-pelanggan yang berkunjung serta memberikan pengalaman perkhidmatan yang sebaik mungkin mereka tawarkan.

Seterusnya, pada sekitar bulan Jun tahun ini, Ultra Slick Detailing juga akan menyertai festival automatif besar-besaran yang mungkin akan dianjurkan oleh BattlePro.

Bermula dari usaha keras seorang diri, Awang Abdul Azim kini mempunyai kira-kira enam orang pekerja sepenuh masa diikuti mereka yang berkerja secara sambilan. Walaupun perniagaan adalah bidang yang penuh cabaran, namun beliau tampil berani untuk menjadi inspirasi kepada usahawan muda yang berjaya dengan membuka syarikat sendiri dan seterusnya menawarkan pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Selain itu, Awang Abdul Azim juga membuka ruang bagi mereka yang beminat untuk melakukan latihan penempatan kerja di syarikatnya, sebagai pendedahan dan seterusnya lebih membuka peluang kepada ramai belia untuk menceburi bidang ini sebagai salah satu medium perniagaan. Kejayaan Abdul Azim adalah satu contoh kejayaan terbaik dicapai oleh anak bangsa negara yang wajar untuk dibanggakan.

“Sasaran kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang luar biasa dan penjagaan kereta inovatif,” ujarnya di hujung temuramah.