SETELAH berjaya mencipta nama melalui sebuah permainan video yang menerapkan jalan cerita menarik, Life is Strange, Dontrod Entertainment kembali lagi dengan permainan video terbaharu berjudul Vampyr.
Berbeza dengan Life is Strange yang lebih menerapkan konsep moden, kini Vampyr sesuai dengan judulnya lebih banyak menonjolkan kepada aksi di latar yang gelap di mana ia lebih memperlihatkan elemen kembara menentang kuasa supernatural.
Hakikat sebenarnya, ia tetap menampilkan bandaraya London sebagai latar utama yang ditampilkan pada era tahun 1918.
Diserang secara mengejut
Kisah bermula apabila, Jonathan Reid, seorang doktor yang cukup terkenal dengan kemahirannya untuk melaksanakan tugasan pemindahan darah berikutan dari pengalaman kerjanya yang lebih menjurus ke arah kesihatan telah berhasrat untuk mengembara ke London demi menjenguk ibunya yang sakit.
Pada satu malam, dia telah diserang dan digigit di bahagian tengkuknya oleh satu entiti penghisap darah dikenali sebagai vampire.
Tanpa diduga, Reid kembali bangkit dan menyedari dirinya berada dalam sebuah keranda.
Tatkala berjaya melepaskan diri daripada keranda tersebut, nafsu dahaganya untuk menghisap darah telah mula menjelma berikutan daripada status dirinya kini yang telah beralih arah iaitu daripada manusia menjadi vampire.
Sebagaimana dengan vampire yang lain, dia juga harus mencari mangsa dan menghisap darah untuk terus hidup.
Bagaimanapun timbul rasa sesal dalam dirinya sekali gus turut menyimpan dendam untuk mencari vampire yang telah menyerang dirinya sekali gus mengubah status dirinya kini.
Setelah menyelidik keadaan sebenar, ternyata dia baru mengetahui bahawa bandaraya London pada masa tersebut sendiri memang berhadapan dengan isu serangan daripada entiti tersebut yang secara tidak langsung mengorbankan banyak nyawa.
Dia juga baru mengetahui bahawa hakikatnya terdapat beberapa kumpulan vampire yang berbeza seperti golongan aristokrat atau kelas atasan dikenali sebagai Ekon, vampire kelas bawahan yang menetap di kawasan pembetungan dikenali sebagai Skals dan Nemrod yang merupakan vampire yang gemar memburu jenis yang lain.
Di samping itu, terdapat juga sekumpulan pemburu vampire dikenali sebagai Guard of Priwen dan setentunya Jonathan Reid yang kini berada pada status vampire sedikit sebanyak turut berasa terancam dengan kehadiran komuniti tersebut.
Berusaha untuk terus hidup
Sistem permainan video yang ditampilkan adalah aksi Role-Playing Games (RPG) di mana pemain berpeluang untuk mengawal karakter utama iaitu Dr Jonathan Reid dan mengembara ke sebuah kawasan yang sangat luas.
Dr. Jonathan Reid memiliki misinya yang tersendiri iaitu untuk mengenal identiti dirinya yang sebenar dan berusaha untuk mencari entiti yang wajar bertanggungjawab dalam menjadikan dirinya seperti sedemikian rupa.
Dari situ, dia harus meneroka ke seluruh kawasan bandaraya London dan berkomunikasi dengan individu yang ditemuinya di sepanjang pengembaraannya itu demi mengumpulkan informasi yang dapat membantu untuk memberi klu terhadap persoalan yang cuba diselesaikannya.
Sebagaimana dengan vampire lain, Jonathan Reid juga memerlukan bekalan darah bagi meneruskan jangka hayatnya untuk merungkai misteri yang menyebabkan transisi pada dirinya.
Menghisap darah bukan sahaja berupaya untuk mengekalkan tenaga pada karakter utama namun ia juga berpotensi untuk memberikan kelebihan yang lain.
Jonathan turut berupaya untuk melakukan proses transisi terhadap mangsa yang telah digigitnya untuk dijadikan sebagai budak suruhan.
Bukan itu sahaja, dia juga berupaya untuk menginap di rumah mangsa yang menjadi budak suruhannya setelah memberi kebenaran kepada dirinya untuk melangkah masuk ke dalam rumah mereka.
Sementara kuasa ‘Mesmerise’ yang dimilikinya berupaya untuk membantu dirinya bagi mengenal kelemahan yang dimiliki oleh sasaran yang berada di sekelilingnya sekali gus berupaya dalam memberi laluan untuk memberikan maklumat yang berguna dalam memberi penyelesaian kepada misi yang dilaksanakan.
Pemain juga harus sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling kerana anda berkemungkinan berpeluang untuk bertemu dengan dokumen penting dalam memberikan klu untuk menyelesaikan sesebuah permasalahan.
Bagi memperkuatkan benteng pertahanan, pemain juga berupaya untuk mengawal beberapa senjata tertentu seperti gergaji, pistol Webley Revolver dan banyak lagi.
Menariknya, senjata-senjata yang digunakan ini juga boleh dinaiktarafkan melalui penggunaan peralatan tertentu yang dikumpulkan sepanjang kembara yang dilalui.
Di samping itu, pemain juga berupaya untuk melakukan beberapa aksi tertentu seperti serangan kombo, serangan hendap dan menangkis sebarang serangan daripada pihak musuh.
Justeru, sekiranya pemain memang berminat untuk menerokai dunia mistik dipenuhi dengan entiti misteri yang mengganas maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Vampyr yang dikeluarkan untuk platform Microsoft Windows, PlayStation 4 dan Xbox One.