Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkit semula selepas alami episod hitam

    SUATU ketika dahulu, pelompat tinggi AS, Jamie Nieto boleh melakukan aksi lompatan sebanyak 130 kali tanpa bantuan tongkat atau alat pejalan kaki.

    Namun segala-galanya berubah apabila peristiwa buruk berlaku pada April 2016 di mana peserta sukan Olimpik sebanyak dua kali itu telah melakukan kesilapan pada aksi lompatan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian saraf tunjang sehingga doktor hanya menjangkakan beliau hanya mampu untuk melangkah untuk beberapa tapak sahaja atau langsung tidak berupaya lagi untuk berjalan.

    Pada 23 April 2016, peserta sukan Olimpik yang berjaya melakukan aksi lompatan pada jarak tujuh kaki dan lapan inci itu telah melakukan kesilapan pada lompatan Backflip tatkala melakukan demonstrasi di hadapan atet di bawah latihannya.

    “Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan malah hanya terlentang di kawasan itu kerana saya merasa sangat sakit. Saya juga beruntung kerana ada atlet di bawah latihan saya yang telah menelefon 911 (panggilan kecemasan) ketika peristiwa itu,” jelas Nieto.

    Beliau telah diterbangkan ke sebuah hospital di Los Angeles di mana pembedahan telah dijalankan untuk memperbetulkan cakera di bahagian lehernya. Tatkala sedar selepas proses pembedahan, beliau hanya berupaya untuk mengangkat bahu dan melenturkan otot quadriceps

    Walaupun mengalami kecederaan sehingga menyukarkan berjalan, Nieto tetap aktif untuk melakukan senaman sebanyak lima kali seminggu. – AP
    Walaupun mengalami kecederaan sehingga menyukarkan berjalan, Nieto tetap aktif untuk melakukan senaman sebanyak lima kali seminggu. – AP
    Nieto tetap bersemangat untuk kembali berjalan selepas mengalami kecederaan. – AP
    Nieto tetap bersemangat untuk kembali berjalan selepas mengalami kecederaan. – AP

    “Saya langsung tidak dapat merasakan bahagian tangan dan kaki namun saya tetap yakin bahawa suatu hari saya boleh sembuh secara sepenuhnya,” jelas Nieto.

    Atlet lompat tinggi yang menduduki tempat keenam di Sukan London 2012 ini telah dimasukkan ke unit rawatan intensif selama 12 hari dan dua bulan dimasukkan ke bahagian pemulihan pesakit.

    Kini, secara perlahan-lahan beliau telah beransur pulih dan telah melangsungkan acara perkahwinan pada 22 Julai lalu.

    Pada mulanya, melakukan segala rutin harian seperti bangun dari katil, menggosok gigi dan memakai pakaian merupakan satu cabaran hebat bagi beliau.

    Kos rawatan beliau juga cukup tinggi dan ia setentunya bertambah buruk lagi apabila beliau tidak memiliki sebarang insurans perlindungan namun kemuliaan hati rakannya yang telah melancarkan kempen kutipan wang bagi membiayai kos Nieto sehingga mereka berjaya mengumpulkan sebanyak AS$80,000.

    Sama sewaktu hari-hari ketika beliau masih aktif di trek, Nieto tetap bersemangat untuk melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya lima hari dalam tempoh seminggu.

    Beliau juga turut mendokumentasikan setiap kemajuan pada dirinya dan mengongsikannya di dalam media sosial sehingga berjaya mendapat tontonan sebanyak 4,000 kali.

    “Secara fizikal, saya bukan seorang atlet yang berbakat namun saya telah bekerja keras untuk mencapainya. Di samping itu, sikap daya tahan dari aspek mental juga perlu di mana ia adalah satu langkah yang membezakan di antara seorang atlet yang baik dengan atlet yang hebat,” jelas Nieto yang merupakan seorang atlet yang pernah menampilkan kehebatan aksi lompatannya dari atas bumbung sebuah kereta.

    “Ramai orang mengatakan bahawa proses pemulihan saya berlangsung dengan begitu cepat dan saya tetap merasakan bahawa ia tidak berlaku dalam tahap yang cepat kerana saya inginkan kehidupan yang lebih baik seperti sediakala. Saya telah terbiasa dengan gaya hidup yang cepat dan bukannya lambat. Malah saya juga tetap berusaha untuk memiliki keupayaan untuk terus berjalan,” jelas Nieto yang berusia 40 tahun yang menetap di Los Angeles.

    Nieto telah melamar seorang jurulatih Jamaica, Shevon Stoddart dalam keadaan berkerusi roda kira-kira enam bulan selepas mengalami kecederaan setelah melakukan aksi Backflip yang cukup sinonim dengan diri beliau.

    Mengimbas kembali detik permulaan di antara dua pasangan ini adalah pada tahun 2010, ketika Nieto dan Stoddart menghadiri sesi uji bakat untuk membintangi iklan untuk menjual televisyen.

    “Pada awalnya saya hanya mengungkapkan kata ‘Hi’ namun hati saya seolah mula terdetik untuk mengenalinya dengan lebih mendalam,” jelas Nieto sambil ketawa

    Nieto tetap bersemangat untuk berjalan sendiri pada hari perkahwinannya. – AP
    Nieto tetap bersemangat untuk berjalan sendiri pada hari perkahwinannya. – AP
    Nieto dan Stafford sewaktu memilih cincin perkahwinan dan isterinya itu juga banyak mendorong untuk bangkit semula dalam kehidupan. – AP
    Nieto dan Stafford sewaktu memilih cincin perkahwinan dan isterinya itu juga banyak mendorong untuk bangkit semula dalam kehidupan. – AP

    Tidak lama selepas itu, kedua-dua mereka telah menjadi rakan di dalam Facebook dan pada satu hari Nieto juga telah memberanikan diri mengajak Stoddart untuk meluangkan masa dengan makan malam bersama selepas sesi latihan berakhir.

    Stoddart juga bersetuju untuk meluangkan masa dengan undangan makan malam tersebut dan secara tidak langsung hubungan di antara atlet lompat jauh dan atlet larian 400 meter itu menjadi semakin akrab.

    “Sebelum peristiwa buruk itu terjadi, kami juga pernah membicarakan mengenai pernikahan dan selepas tragedi buruk itu terjadi, saya juga sempat untuk bertanyakan soalan sama ada beliau masih mahu berkahwin dengan saya atau tidak,” jelas Nieto.

    “Kejujuran beliau jelas cukup terserlah dengan kehadiran Stoddart yang sentiasa berada di sisi saya, tetap setia untuk membantu saya meneruskan kehidupan seperti memberi semangat untuk berjalan, membantu menggunakan kerusi roda dan sebagainya walaupun masih berada dalam proses pemulihan selepas tercedera,” jelas Nieto.

    Pada pertengahan Oktober, lalu, pasangan tersebut telah pergi ke kedai barang kemas untuk membeli sebentuk cincin di mana Nieto telah melamar Stoddart dalam keadaan beliau berkerusi roda dan berjanji untuk berjalan pada hari perkahwinan mereka.

    Beberapa bulan selepas itu, beliau mula menunjukkan tanda positif untuk berjalan secara perlahan sehingga enam langkah tanpa bantuan.

    Tidak lama kemudian, beliau terus melangkah sehingga mencecah 23,53, 80 dan 130 langkah sewaktu berjalan di gereja di San Diego sewaktu hari perkahwinannya.

    “Ukuran jarak di antara pintu gereja menuju ke mezbah itu adalah cukup penting bagi saya dan saya harus melakukannya pada hari perkahwinan itu,” jelas Nieto.

    “Saya sentiasa memberi dorongan kepada beliau untuk terus berjalan sewaktu menunggu ketibaan beliau di mezbah,” jelas Stoddart yang dilahirkan di Kingston, Jamaica dan berhijrah ke Uniondale, New York sejak kecil lagi.

    Sebelum peristiwa buruk itu berlaku, Nieto pernah membuat kemunculan dalam beberapa buah filem dan siri televisyen seperti Baseball’s Last Hero : 21 Clemente Stories dan Family Time.

    Di samping itu, Nieto juga turut menulis sejarah pemulihan yang beliau hadapi dan kisah hidup beliau juga direncanakan untuk difilemkan.

    “Saya tetap bersemangat dan tetap menaruh harapan untuk kembali pulih secara sepenuhnya,” jelas Nieto. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda