BANGKOK, 18 April – Gerai-gerai makanan jalanan akan diharamkan di semua jalan utama di Bangkok dalam kempen pembersihan, kata pegawai perbandaran hari ini, mencetuskan kemarahan dan kekecewaan di bandar yang terkenal dengan hidangan pedas tepi jalannya.
Selama beberapa bulan pihak berkuasa perbandaran melakukan operasi terhadap gerai jalanan di seluruh metropolis itu, yang menjual pelbagai jenis makanan daripada hidangan mi lewat malam hinggalah serangga goreng.
“Semua jenis gerai yang menjual pakaian, barangan tiruan dan makanan akan diharamkan dari jalan-jalan utama,” kata ketua penasihat kepada gabenor Bangkok, Wanlop Suwandee kepada AFP.
“Mereka tidak dibenarkan beroperasi atas faktor ketenteraman awam dan kebersihan,” katanya, memberikan alasan operasi itu selepas mendapat aduan daripada orang awam.
Pihak pegawai berkata hampir dua pertiga dari 30,000 penjual gerai jalanan dari semua jenisnya sudah pun disingkirkan atau telah dipindahkan ke tempat lain kerana kewujudannya telah mengakibatkan laluan pejalan kaki sesak, mengganggu orang ramai yang lalu lalang selain memburukkan lagi lalu lintas. – AFP