Bangkok laksana ujian swab di kawasan setinggan

BANGKOK, 8 SEPT – Bagi keluarga miskin yang bergantung hidup dengan pendapatan hanya AS$150 sebulan di kawasan setinggan Bangkok, ujian swab koronavirus dianggap terlalu mahal dengan hanya sebilangan sahaja yang mampu melakukannya.

Kawasan setinggan Khlong Toei yang menempatkan kira-kira 100,000 penduduk dengan kebanyakan tinggal dalam kediaman kecil dan sesak, menjadi perhatian utama ketika Thailand sedang berdepan gelombang ketiga pandemik.

Seiring itu, Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok, sebuah badan amal kini berusaha melancarkan ujian saringan secara besar-besaran bagi mengenal pasti kes dan membantu menghentikan Khlong Toei daripada menjadi punca jangkitan ke seluruh bandar.

Yayasan itu berkata programnya itu turut memberi jaminan katil hospital untuk kes positif, sesuatu yang sudah lama tertangguh.

Katanya, hampir 1,000 orang diminta melakukan ujian calitan dalam beberapa hari ini, katanya, dengan hampir 50 orang didapati positif.

“Terdapat ramai orang yang tinggal dalam ruang sempit dan terhad. Dalam kebanyakan kes orang yang tinggal bersama 10 orang di dalam sebuah rumah…atau mungkin 20 meter persegi, bermaksud jika seorang dijangkiti COVID-19, yang lain juga sama,” kata pengasas bersama yayasan itu, Friso Poldervaart kepada AFP.

Katanya, kebiasaannya bagi individu yang didapati positif, mereka diberikan kit pengasingan di rumah, tetapi masalah timbul ketika mereka tidak dapat mengasingkan diri apabila berada di rumah.

“Sumbangan beras, jus manggis dan makan tengah hari percuma adalah antara insentif badan amal yang digunakan untuk menggalakkan penduduk yang ragu-ragu menjalani ujian calitan ini,” katanya.

Sejak April, Thailand mengalami gelombang jangkitan ketiga yang teruk dengan lebih 1.3 juta kes dan 13,000 kematian. – AFP

Penerima vaksin menunggu selama 30 minit untuk pemantauan kemungkinan ada kesan sampingan selepas menerima dos vaksin AstraZeneca/Oxford di ‘Unit Vaksinasi Bergerak’ yang dilakukan dalam sebuah bas di Bangkok pada 8 September. – AFP