Bangku ala rustic pelbagai guna

Oleh Amri HTZ

Menghiasi perkarangan rumah terutamanya di kawasan beranda mampu menyerikan lagi pemandangan selain bermanfaat ketika meluangkan waktu untuk bersantai.

Lazimnya, ia akan dihiasi dengan bunga-bungaan sebagai dekorasi bagi memenuhi ruangan tersebut. Pelbagai barangan oleh digunakan untuk menghiasinya dan salah satunya adalah bangku pelbagai guna. Bangku ala rustic yang semakin popular dalam kalangan penghias ini selain berfungsi sebagai tempat duduk, ia juga boleh digunakan untuk meletakkan barangan di atasnya. Untuk merekanya, ikuti beberapa langkah mudah di bawah ini.

Sedia dan reka

Bagi mereka bangku pelbagai guna ini, barangan yang perlu disediakan ialah mesin pemotong kayu atau gergaji, mesin kimpal, mesin orbital sander, pengepit kayu, gam kayu, dua batang besi bulat (hollow pipe), bar keluli (rebar), mesin pemotong besi, pita pengukur, kepingan papan 2″ x 6″, angle iron berukuran 1.5″ dan blow torch.

Dari kayu kepada sesuatu

Papan-papan yang telah disediakan akan diukur dan ditandakan menggunakan pensel untuk pemotongan pada langkah pertama ini. Panjang papan yang hendak dipotong tertakluk kepada ukuran yang diperlukan. Pada projek ini, ukuran 44 inci panjang digunakan dan jika anda mahukan yang lebih pendek atau panjang, hanya perlu mengikut ukuran yang disukai.

Memandangkan lebar papan 6 inci digunakan pada projek ini, hanya tiga keping papan digunakan yang akan dicantumkan. Sebelum melakukan proses percantuman, pastikan bahagian sisi kayu bersih daripada sebarang minyak dan dalam keadaan rata kerana ia mampu memberikan risiko kepada bahagian cantuman yang tidak kukuh.

Papan-papan yang telah diratakan bahagian sisinya perlu dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
Teknik kedua untuk membengkokkan besi hanya dengan menggunakan dua batang besi hollow.
Kedudukan rebar dengan sudut 60 darjah diperlukan sebelum dipateri pada permukaan angle iron.
Jig khusus digunakan untuk membengkokkan rebar dengan cara memanaskan bahagian tengah besi menggunakan blow torch.
Bentuk rebar yang perlu didapati setelah membengkokkannya.

Gunakan mesin pemotong kayu atau ketam kayu untuk meratakan bahagian sisi papan (sisi papan berukuran dua inci) dan perlu diingatkan, bahagian yang akan diratakan hanyalah akan membuang satu hingga tiga mililiter sahaja memandangkan pada kebiasaannya kayu yang terjual tersedia dalam keadaan yang agak rata.

Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan kekalkan kedudukan menggunakan gam kayu. Biarkan gam mengering sepenuhnya sebelum membuang lebihan gam yang terkeluar daripada bahagian cantuman memandangkan ia lebih mudah untuk melakukannya ketika gam telah mengering.

Sementara menunggu gam mengering, gunakan masa yang ada untuk mereka kaki bangku menggunakan rebar. Langkah ini memerlukan anda untuk membengkokkannya dengan bentuk yang diperlukan sama ada menggunakan jig atau hanya menggunakan batang besi secara manual.

Rebar yang telah disediakan akan dipotongkan kepada empat batang dengan setiap batang berukuran 36 inci. Gunakan mesin pemotong besi (grinder) untuk memotongkannya atau menggunakan pemotong khusus rebar (rebar cutter). Setelah memotongkannya, tandakan ukuran 16 inci diikuti dengan 2 inci, 2 inci dan 16 inci. Bahagian-bahagian besi yang telah ditandakan ini merupakan kawasan di mana ia akan dibengkokkan.

Jika anda memilih untuk menggunakan jig dengan bentuk seperti gambar yang disertakan, langkah tersebut memerlukan haba (torch) yang cukup panas untuk membengkokkannya dengan sempurna. Dengan memanaskan bahagian tengah besi yang telah ditandakan (ukuran) tadi sehingga berwarna kemerah-merahan, beri tekanan dengan cara menarik salah satu bahagian hujung rebar .

Cara kedua, jika anda tidak mempunyai jig seperti dalam gambar, gunakan kedua-dua besi hollow dengan memasukkan rebar ke dalamnya dan menempatkannya bahagian hujung besi hollow pada ukuran 16 inci (kedua-dua bahagian yang telah ditandakan). Panaskan bahagian tengah besi seperti cara sebelumnya dan berikan tekanan dengan cara menarik salah satu besi, yang mana satu lagi ditetapkan kedudukannya menggunakan vise atau mengenjaknya, bengkokkan besi sehingga ukuran bahagian hujung rebar di antara satu dengan yang lain dalam jarak 10 inci. Lakukan langkah yang sama pada kesemua rebar yang disediakan.

Langkah seterusnya adalah memotongkan besi berbentuk ‘L’ (angle iron) dengan ukuran 12 inci. Setelah itu, rebar yang telah dibengkokkan sebelumnya akan dipateri ke atasnya berfungsi sebagai pendakap sokongan atau tapak. Dengan menetapkan bahagian hujung rebar pada kedudukan 2 inci dan 11 inci permukaan angle iron, pateri keseluruhan permukaan cantuman dengan sudut 60 darjah (kedudukan rebar) sebelum menebuk bahagian hujung kedua-dua angle iron untuk lubang skru nanti.

Beralih ke bahagian papan tadi, bersihkan permukaannya daripada gam kayu dan ratakan keseluruhan permukaan menggunakan ketam kayu atau mesin kertas pasir berukuran 400 grit. Setelah membersihkan keseluruhan permukaan, sapukan varnis atau wood oil menggunakan berus cat.

Langkah terakhir adalah memasangkan kaki bangku pada bahagian hujung papan dengan kedudukan 45 darjah. Kekalkan kedudukan menggunakan skru berdiameter 8mm bagi memastikan ia cukup kukuh apabila menampung beban di atasnya nanti. Setelah terpasang, buat percubaan dengan duduk ke atasnya untuk memastikan ia cukup stabil. Selain sebagai bangku, ketika menempatkannya pada beranda rumah, ia juga boleh berfungsi sebagai meja untuk meletakkan pasu dan sebagainya.