Bangku dari kayu semula jadi cukup mempesonakan

Oleh Amri HTZ

Rekaan daripada kayu dan besi atau lebih dikenali dengan gaya rustic industrial semakin mendapat sambutan di kalangan peminatnya disebabkan keunikannya selain minat kepada bahan alami yang terbentuk secara semula jadi.

Rekaan sedemikian sering kali boleh didapatkan terbuat dalam bentuk meja, kerusi, bangku, hiasan dinding dan sebagainya. Namun untuk mendapatkannya agak ‘mengejutkan’ di mana harga yang diletakkan kadang-kadang terlalu tinggi. Sebagai penyelesaian, dengan memiliki beberapa peralatan, anda juga boleh merekanya sendiri.

Daripada membiarkan pohon-pohon rebah daripada reput begitu sahaja terutama di kawasan yang dimiliki, kenapa tidak mereka sesuatu daripadanya untuk mengambil manfaatnya.

Sediakan peralatan sebelum pembuatan

Dalam mereka bangku daripada batang kayu ini, barangan yang diperlukan adalah mesin ketam kayu atau manual, pahat kayu, mesin gergaji bulat, pita pengukur, gergaji rantai, mesin biscuit jointer atau dowel, kertas pasir (berukuran 80, 120, 300, 400, dan 800 grit), mesin kimpal, angle grinder, paip besi berukuran 1” x 1”, skru, gerudi, wood finish (varnis, wood oil dan sebagainya), gam kayu, pengepit kayu.

Tumpu perhatian dalam rekaan

Bagi langkah pertama pembuatan, batang kayu yang digunakan perlulah terlebih dahulu dipotong menggunakan mesin gergaji rantai.

Pilih batang kayu yang tidak mempunyai lubang pada bahagian tengah bagi mendapatkan permukaan bangku yang sempurna. Selain itu, batang kayu tersebut seboleh-bolehnya merupakan pohon yang telah lama tumbang bagi memastikan ia cukup kering untuk digunakan.

Langkah membelah kayu menggunakan gergaji rantai perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Kaki bangku yang telah siap dikimpal dan dibersihkan perlu dicat menggunakan warna yang sesuai.
Bahagian sisi kayu yang telah dipotong dan diratakan kemudiannya akan dicantumakn menggunakan biscuit jointer
Proses meratakan permukaan tempat duduk dan melorek bahagian sisi kayu bagi menempatkan kaki bangku.

Jika ia pohon yang baharu tumbang, ia perlu melalui proses pengeringan agar permukaan rekaan nanti tidak berubah sama ada melengkung ataupun terbelah secara alami.

Pohon yang telah dipilih kemudiannya akan dipotong dengan panjang lebih kurang 36”. Selain itu diameter kayu tersebut perlulah sekurang-kurangnya 13” bagi mendapatkan permukaan tempat duduk yang cukup lebar. Setelah memotongkannya, batang kayu tersebut kemudiannya akan dibelah dua yang kemudiannya akan dicantumkan bahagian sisinya bagi mendapatkan permukaan rekaan yang lebih lebar selain suatu keunikan.

Kayu yang telah dibelah dua tersebut kemudiannya akan dipotong salah satu bahagian sisinya bagi mendapatkan permukaan yang rata agar anda boleh mencantumkan kedua-dua potongan kayu tersebut. Untuk itu, ia memerlukan anda memotongkan lebih kurang 3” atau 4” lebar daripada bahagian sisi kayu bagi mendapatkan permukaan yang cukup lebar ketika ia dicantumkan.

Gunakan mesin bergaji bulat atau bandsaw untuk melakukan langkah ini. selain itu, menggunakan mesin gergaji rantai juga boleh dilakukan dengan permukaan kasar tersebut kemudiannya akan diratakan menggunakan ketam kayu. Setelah memotong rata kedua-dua belahan kayu, bahagian sisi yang akan dicantumkan tersebut perlu diletakkan dengan dowel, domino jointer atau biscuit jointer.

Tujuannya adalah bagi memastikan cantuman yang akan digamkan nanti mempunyai sokongan yang kukuh selain sebagai panduan agar kayu yang dikepitkan menggunakan pengepit kayu ketika gam kayu disapukan tidak bergerak (tidak selari) daripada kedudukan cantuman.

Penggunaan biscuit jointer dipilih di sini adalah disebabkan kayu penyambung yang digunakan adalah cukup lebar sekali gus mampu memberikan cantuman sokongan yang cukup kuat ketika gam mengering nanti. Setelah lubang untuk menempatkan kayu berbentuk biscuit direka menggunakan mesin khusus, anda bolehlah mengisikan lubang tersebut menggunakan gam kayu.

Selain itu keseluruhan permukaan cantuman juga perlu disapukan dengan gam kayu. Selesai melakukannya, tetapkan sementara kedudukan cantuman menggunakan pengepit kayu selama 24 jam.

Sementara menunggu gam mengering, luangkan masa untuk mereka kaki bangku daripada paip besi berukuran 1” x 1” yang telah tersedia. Potongkan enam batang besi dengan panjang 16” dan panjang 20.5” untuk dua batang menggunakan mesin angle grinder.

Sebelum itu, pastikan sudut potongan mempunyai ukuran 52.5 darjah yang memerlukan anda untuk menandakannya menggunakan pen penanda sebelum melakukannya.

Besi-besi yang telah dipotongkan kemudiannya akan dicantumkan menjadi rangka kaki bangku yang terbahagi kepada dua (sisi kanan dan kiri). Mulakan dengan mencantumkan sebatang besi 16” panjang (besi bahagian atas) dengan besi dua batang besi 16” untuk bahagian sisinya menggunakan mesin kimpal.

Ini diikuti untuk besi bahagian sokongan untuk kaki yang berukuran 20.5” panjang. Kedudukan besi sokongan ini perlu ditetapkan pada ukuran 4” daripada bahagian hujung kedua-dua batang besi 16” (besi bahagian sisi tadi). Lakukan langkah yang sama untuk mereka bahagian kaki bangku yang satu lagi.

Kedua-dua rangka kaki bangku tersebut kemudiannya akan dibersihkan permukaan yang dikimpal menggunakan mesin angle grinder. Ini dilakukan untuk membuangkan permukaan kimpalan yang tidak sempurna sebelum dicat. Setelah itu, semburkan dua hingga tiga lapisan cat dengan memberikan masa untuk setiap lapisan mengering selama 15 minit sebelum memberikan lapisan yang seterusnya.

Beralih kepada kayu yang dicantumkan sebelumnya, langkah seterusnya memerlukan anda untuk membersihkan permukaan cantuman agar bebas daripada lelehan gam menggunakan pahat kayu.

Setelah itu, keseluruhan permukaan tempat duduk akan diratakan menggunakan ketam kayu. Proses meratakan permukaan kayu lebih cepat jika menggunakan mesin ketam (mudah alih) namun menggunakan alat ketam manual juga mampu memberikan hasil akhir yang sama.

Kaki bangku yang telah siap dikimpal tadi akan dipasangkan pada bahagian sisi kayu namun sebelum itu, sebahagian permukaan sisi kayu perlu dilorek untuk menempatkannya.

Dengan menandakan ukuran 1” lebar, permukaan tersebut akan dilorek dengan kedalaman 1” bagi menempatkan kaki bangku. Untuk menetapkannya, permukaan besi perlu ditebuk sekurang-kurangnya dengan empat lubang setiap satu rangka dengan jarak yang sama.

Sebagai pengakhiran projek, permukaan kayu tersebut perlulah disapukan dengan wood finish yang disukai dan tertakluk kepada di mana bangku tersebut akan diletakkan. Jika ia di luar rumah, memilih wood finish yang mempunyai ketahanan berdepan dengan cuaca perlu dititikberatkan selain bahan yang mampu menimbulkan lagi ira-ira yang terdapat pada permukaan kayu.