Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangku dengan kusyen bentuk karipap terima lebih 1,000 tempahan

    KUALA LUMPUR, 10 Mac – Bangku dengan kusyen berbentuk karipap di Pameran Perabot Eksport (EFE) 2017, antara produk yang mendapat permintaan tinggi dengan lebih 1,000 tempahan diterima pada hari pertama pameran itu, Khamis lepas.

    Pengarah Pameran Universiti Putra Malaysia (UPM), Abdul Rapizam Abd Razak berkata bangku yang dijual dengan harga RM1,200 sebuah itu, merupakan antara bangku berbentuk pelbagai kuih-muih tradisional Malaysia yang berjaya menarik minat pembeli dari Jepun, Sri Lanka dan Indonesia.

    Beliau berkata selain itu, UPM turut mengetengahkan kerusi, meja kopi dan terendak lampu yang juga menggunakan konsep kuih tradisional Malaysia seperti roti jala, kuih lapis, kuih peneram, nona manis, bahulu, kuih kemboja, kuih manja dan kuih ros.

    “Ia merupakan cetusan idea lapan pensyarah fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, dan idea ini muncul selepas pihak fakulti membuat kajian pasaran bagi menyuntik elemen kelainan dalam produk mereka,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata ia juga antara usaha UPM dalam mempromosikan kepelbagaian kuih tradisional berbilang bangsa negara ini menerusi platform yang berbeza.

    “Hasil perancangan dan kerjasama antara pensyarah yang terlibat serta bantuan pelajar fakulti, kami berjaya menghasilkan produk ini pada kualiti cukup baik selain menyerupai hampir 100 peratus rupa bentuk kuih tradisional sebenar,” katanya.

    Abdul Rapizam yang juga Penolong Pensyarah di UPM berkata barang itu boleh didapati pada EFE 2017 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre di sini sejak Rabu hingga esok.

    Tambahnya, variasi produk dihasilkan UPM itu dijual pada harga serendah RM1,200 dengan penggunaan fabrik berkualiti serta bercorak moden.

    EFE 2017 anjuran EFE Expo Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Perabot Malaysia, merupakan antara pameran terbesar dalam kalendar industri perabot dengan edisi keempat pada tahun ini melibatkan penyertaan lebih 300 pempamer. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda