Bangku dua dalam satu hiasi ruangan

Oleh Amri HTZ

Walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan di mana sesetengah kawalan yang diperketat telah dilonggarkan, ini tidak bermaksud kita telah bebas daripada ancaman koronavirus.

Masa hujung minggu yang berkualiti juga boleh dimanfaatkan bersama keluarga di rumah atau menjalankan aktiviti berfaedah bagi kesihatan mental dan fizikal. Salah satunya adalah mereka bangku daripada kayu untuk pelbagai kegunaan dan ketika melakukannya, ajak ahli keluarga bersama yang setentunya boleh dijadikan sebagai rakaman kenangan.

Barang-barang yang diperlukan

Projek mereka bangku kayu kali ini memerlukan awda menyediakan kayu 6 inci x 6 inci panjang 8 kaki, mesin ketam kayu, gam kayu, mesin pemotong kayu meja atau bandsaw, circular saw atau gergaji manual, mesin router, pengepit kayu, pita pengukur, vernier caliper, kayu 2 inci x 1 inci, pahat kayu, pita perekat, tukul kayu dan pen atau pensel penanda.

Langkah pembuatan

Pada langkah awal pembuatan, kayu 6 inci x 6 inci yang telah disediakan terlebih dahulu perlu diratakan menggunakan ketam kayu. Langkah ini khusus bagi awda yang menggunakan kayu yang mempunyai permukaan tidak rata atau kasar terhasil daripada bilah pemotong kayu. Selain menggunakan mesin ketam, melakukannya menggunakan ketam manual atau kertas pasir juga boleh dilakukan. Namun langkah tersebut setentunya akan mengambil masa yang agak lama berbanding menggunakan mesin.

Setelah meratakan permukaan kayu, ia kemudiannya akan dipotong menjadi empat dengan setiap satunya mempunyai panjang 20 inci. Menggunakan mesin circular atau milter adalah lebih baik berbanding mesin pemotong kayu jenis meja memandangkan ukuran panjangnya akan menyukarkan awda untuk menyorongkannya pada bilah pemotong.

Langkah pemotongan kayu menggunakan mesin milter.
Dado atau alur yang telah dipotongkan dan dibersihkan menggunakan pahat kayu.
Kaki bangku yang menghasilkan bahagian bawah yang lebih kecil menggunakan mesin bandsaw.
Kekalkan kedudukan cantuman yang telah disapukan gam dengan menggunakan pengepit kayu.

Menggunakan gergaji tangan secara manual juga boleh memberikan hasil akhir yang sama namun permukaan potongan biasanya menjadi kasar disebabkan ukuran gigi gergaji yang besar.

Selesai memotongkannya, langkah seterusnya adalah mereka dado atau groove (alur) untuk menempatkan pasak kayu nanti. Potong kesemua kayu pada dua permukaan kayu (bersebelahan) dengan ukuran ¾ inci x 1 inci yang kemudiannya akan ditempatkan pada bahagian dalam struktur bangku. Langkah ini boleh dilakukan sama ada menggunakan mesin pemotong kayu atau hanya menggunakan pahat.

Langkah seterusnya adalah memotong kayu tersebut dengan sudut bawah lebih berbentuk menajam.

Tandakan ukuran 6 inci daripada bahagian hujung kayu bahagian atas dan bahagian bawah 2 ½ inci dengan memastikan alur yang telah direka pada permukaan sama. Setelah menandakan ukuran tersebut, lakar garisan untuk mencantumkan kedua-dua ukuran menggunakan pensel penanda.

Proses pemotongan kayu di sini lebih mudah dan efektif jika awda menggunakan mesin bandsaw. Tetapi ini tidak bermakna mesin jenis lainnya tidak boleh digunakan. Penggunaan mesin circular juga boleh dilakukan namun pada kebiasaannya kedalaman atau ukuran bilah mesin bersaiz kecil dan ini memerlukan awda untuk memotongkannya daripada kedua-dua belah (permukaan kayu berlawanan) kayu tersebut.

Bagi awda yang menggunakan gergaji tangan, langkah ini perlu dilakukan secara perlahan memandangkan ia memerlukan tenaga yang banyak. Ketebalan kayu akan menjadi faktor utama keletihan di mana ia akan memakan masa yang agak lama.

Langkah yang sama juga akan dilakukan untuk bahagian permukaan bersebelahan di mana alur telah direka sebelumnya. Kesemua kayu yang telah dipotongkan tersebut kemudiannya akan dihaluskan pada permukaan potongan menggunakan kertas pasir.

Sebelum langkah mencantumkan keseluruhan bahagian menjadi satu, kayu 2 inci x 1 inci yang telah disediakan perlu dikecilkan sedikit ukurannya menjadi ¾ inci pada bahagian 1 inci. Gunakan mesin ketam kayu atau mesin pemotong kayu untuk mengurangkan ketebalan kayu tersebut. Setelah melakukannya, kini awda hanya perlu memasukkannya ke dalam alur yang telah direka.

Namun sebelum itu, keseluruhan bahagian kayu bangku akan dicantumkan menjadi satu dengan menyapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu. Ini diikuti dengan menyapukan keseluruhan permukaan cantuman pasak yang telah direka pada bahagian alur kayu. Bagi memastikan keseluruhan bahagian kekal pada kedudukan secara sementara, gunakan pengepit kayu di setiap sudut.

Semasa mengetatkan pengepit kayu, pastikan tekanan yang diberikan cukup kuat agar bangku yang telah digunakan atau terdapat pergerakan kayu (kayu mengembang) secara alami disebabkan kelembapan, cantuman tidak akan merekah. Oleh itu, perhatikan kawasan cantuman ketika pengepit kayu diketatkan bagi memastikan terdapat lelehan gam terkeluar daripadanya. Ini menandakan tekanan yang diberikan adalah mencukupi.

Biarkan gam mengering selama beberapa jam mengikut arahan yang telah diberikan oleh pengilang. Bagi mendapatkan hasil akhir yang lebih baik, biarkan rekaan selama 24 jam sebelum beralih ke proses seterusnya.

Bagi memastikan bangku yang direka tetap terlindung daripada kelembapan atau serangga perosak, ia perlu disapukan dengan wood finish pilihan.

Ini sama ada berbentuk cat, minyak atau wax di mana setiap bahan mempunyai kelebihannya tersendiri.

Pilihan yang dibuat perlulah sesuai dengan kegunaannya nanti di mana jika ia digunakan untuk meletakkan pasu bunga, maka ia perlu mempunyai pelindung permukaan yang kalis air memandangkan ketika bunga disiram, titisan atau percikan air setentunya akan terkena bangku tersebut.