Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Bangku mini cukup versatil

    Oleh Amri HTZ

    Mengerjakan sesuatu dalam keadaan mencangkung setentunya memenatkan terutamanya bagi mereka yang belum biasa membuat pekerjaan dalam keadaan sedemikian.

    Bagi mengelakkan kekejangan di bahagian kaki terjadi, duduk secara selesa ditekankan, oleh itu kehadiran bangku setentunya mampu mengurangkan kesan sedemikian.

    Mendapatkannya di pasaran setentunya amat mudah, namun merekanya sendiri daripada kayu terpakai setentunya memberikan lebih ‘nilai’ kepada pemilikannya.

    Sedia barangan lebih awal

    Bagi mereka bangku mini yang terbuat daripada kayu terpakai ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu agar proses rekaan tidak tergendala. Sediakan barangan seperti mesin pemotong kayu meja, mesin milter, mesin kertas pasir orbital atau manual, kertas pasir 120 grit dan 240 grit, gam kayu, pengepit kayu, wood finish pilihan, sesiku, pita pengukur, pensel penanda, ketam kayu, mesin gerudi, skru berukuran 2 ½ inci dan dowel.

    Cukup mudah direka

    Memandangkan pada projek ini kayu terpakai akan digunakan daripada palet, terlebih dahulu permukaan kayu tersebut dibersihkan agar bebas daripada sebarang besi sama ada paku, skru mahupun stapler.

    Setelah dibersihkan, keseluruhan permukaan kayu akan diratakan menggunakan mesin ketam. Penggunaan mesin di sini bukanlah ia tidak dapat dilakukan secara manual namun ia mampu menjimatkan masa dan tenaga berbanding secara manual.

    Permukaan sisi papan perlu dalam keadaan rata dan bersih sebelum membolehkan proses cantuman dilakukan.

    Proses mencantumkan kepingan papan menjadi satu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
    Menetapkan bilah mesin pemotong pada kedudukan 10 darjah bagi bahagian kaki bangku.
    Langkah menutup lubang di mana skru dimasukkan menggunakan dowel yang telah disapukan dengan gam kayu.

    Kayu-kayu yang telah diketam kemudiannya akan dipotong dengan panjang 32 inci untuk tiga batang. Permukaan sisi kiri dan kanan kayu yang telah dipotongkan tersebut perlulah dalam keadaan benar-benar rata bagi proses mencantumkannya. Ini bagi memastikan ia cukup kukuh dan mampu bertahan lama untuk digunakan.

    Permukaan cantuman yang tidak rata atau kurang bersih (berminyak) setentunya akan menggagalkan proses tersebut.

    Selain tidak kukuh, permukaan yang tidak rata akan menyebabkan keseluruhan struktur papan apabila dicantumkan dalam keadaan tidak rata senget dan ini akan membuatkan awda terpaksa bekerja lebih dengan meratakannya menggunakan ketam kayu manual. Jika awda memiliki mesin ketam yang mampu mengendalikan lebar papan yang telah dicantumkan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah.

    Namun bagi yang memiliki mesin berukuran kecil atau tidak memilikinya sama sekali setentunya akan membebankan mereka.

    Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu secara keseluruhan diikuti dengan menetapkan kedudukannya menggunakan pengepit kayu. Berikan tekanan yang mencukupi pada alat pengepit kayu tersebut agar cantuman benar-benar kukuh.

    Jika tidak, apabila terdapatnya ruangan menandakannya tidak cukup ketat, cantuman akan gagal pada ketika awda melepaskan tekanan pengepit kayu mahupun ketika berlalunya masa dan rekaan berdepan dengan cuaca panas atau kelembapan di mana diketahui kayu akan mengecut ketika kering dan mengembang ketika berdepan kelembapan.

    Biarkan gam mengering selama 24 jam bagi memastikan ia benar-benar kering sebelum meneruskan langkah pembuatan.

    Ketika cantuman mengering, lebihan gam kayu yang terdapat pada permukaan cantuman (atas dan bawah keseluruhan struktur) perlu dibuangkan menggunakan ketam kayu. Pastikan ketam kayu yang digunakan cukup tajam untuk memudahkan langkah membuangkannya.

    Dengan tiga kepingan papan telah dicantumkan, awda kini mempunyai lebar papan lebih kurang 11 inci. Papan tersebut akan dipotongkan kepada tiga dengan dua keping berukuran 8 inci panjang dan sekeping 12 inci panjang. Sudut potongan untuk kayu berukuran 8 inci agak berbeza pada projek ini bagi mendapatkan kedudukan kaki yang mencondong.

    Untuk itu tetapkan kedudukan bilah mesin pemotong kayu pada kedudukan 10 darjah dan potong kayu tersebut dengan berhati-hati.

    Sementara untuk bahagian sokongan pada bahagian tengah kaki bangku, potongkan sekeping kayu dengan panjang 6 inci x 4 inci dengan kedudukan 10 darjah. Langkah ini selaras dengan kedudukan kaki bangku yang telah dipotongkan dengan kedudukan sedemikian sebelumnya.

    Untuk mencantumkan keseluruhan struktur bangku, awda perlu menebuk bahagian atas papan utama dengan mata gerudi berukuran 3mm bagi membolehkan skru dimasukkan. Sebelum menempatkan skru, lubang utama skru pada permukaan papan (kedalaman yang sedikit) akan diperbesarkan sesuai ukuran dowel disediakan. Dowel akan dimasukkan pada lubang tersebut kemudian potong selaras dengan permukaan kayu.

    Tujuan utama dowel digunakan selepas skru dimasukkan adalah untuk menutupi kekurangan yang terdapat pada rekaan terhasil daripada penggunaan skru terutamanya bagi mereka yang sukakan kesempurnaan. Sebelum itu, dowel yang dimasukkan perlu disapukan sedikit dengan gam kayu bagi memastikan ia tidak tertanggal.

    Setelah menetapkan kedua-dua kaki bangku menggunakan skru, kini awda boleh mencantumkan kayu bahagian sokongan kaki bangku yang telah dipotongkan tadi. Menggunakan teknik sama ketika menempatkan skru, kali ini skru akan dimasukkan dari kedua-dua belah kaki bangku.

    Langkah terakhir ialah melindungi permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Bagi awda yang gemar menggunakan cat berwarna, sesuaikan warna digunakan dengan minat tersendiri. Namun bagi mereka yang lebih sukakan keaslian permukaan kayu, penggunaan varnis atau lakuer merupakan pilihan yang tepat. Sapukan sekurang-kurangnya dua lapisan wood finish pilihan agar ia cukup rata dan tidak terlalu nipis bagi melindunginya daripada kelembapan mahupun kekotoran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...