NEW YORK, 4 Mac – Bangladesh menghargai pendirian komuniti ASEAN berkaitan isu pelarian Rohingya yang membanjiri negara itu selepas melarikan diri daripada keganasan di wilayah Rakhine, Myanmar.
Kenyataan itu disuarakan Setiausaha Luar Bangladesh, Mohd Shahidul Haque dalam satu perbincangan di ibu pejabat Institut Keamanan Antarabangsa (IPI) di sini.
Ditanya sama ada komuniti ASEAN boleh memberi tekanan kepada Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya, Haque berkata di bawah piagam ASEAN terdapat peruntukan yang menghalang mereka campur tangan urusan dalaman masing-masing.
“Namun, negara anggota seperti Malaysia, Indonesia (dan) Brunei lantang bersuara berhubung nasib pelarian Rohingya, terutama selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui pentadbiran negara Malaysia.
“Kami sangat gembira ASEAN sekurang-kurangnya masih berpegang kepada beberapa prinsip lamanya. Selain itu, mereka mempunyai pusat kemanusiaan yang membantu mengenal pasti keperluan pelarian Rohingya. Pusat AHA ASEAN telah ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya kepada Bernama.
Pusat AHA adalah organisasi antara kerajaan, yang ditubuhkan oleh 10 buah negara ASEAN, bertujuan memudahkan kerjasama dan menyelaraskan pengurusan bencana di kalangan negara anggota.
Menerusi kerjasama dengan agensi pembangunan tempatan dan antarabangsa, Haque telah terlibat dengan usaha kerajaan Bangladesh memenuhi keperluan pelarian Myanmar dan memudahkan proses untuk mereka pulang ke negara asal.
Sehari sebelumnya, pada Khamis, ketika berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) di New York mengenai isu Rohingya, Haque menggesa UNSC bertindak tegas untuk mewujudkan persekitaran kondusif di Rakhine.
Antara cadangan Haque ialah melaksanakan sepenuhnya syor Suruhanjaya Penasihat Kofi Annan, memastikan proses pelarian kembali ke negara asal berjalan dalam keadaan selamat serta bermaruah; Majlis Keselamatan melawat kem pelarian Rohingya sekali lagi; dan penubuhan ‘zon selamat’. – Bernama

































