Bangladesh kuat kuasa sekatan ketat tangani virus

DHAKA, 14 APRIL – Ribuan polis meronda di jalan-jalan kosong sekitar bandar Bangladesh hari ini ketika kerajaan menguatkuasakan sekatan ketat seluruh negara bagi menangani gelombang baharu koronavirus.

Jalan yang biasanya sesak, Dhaka kini menjadi bandar berhantu ketika para pegawai mendirikan pos pemeriksaan di seluruh bandar 20 juta penduduk itu untuk memastikan tidak ada yang berkeliaran keluar tanpa pas khas.

Hari ini merupakan hari pertama bagi tahun baharu Bengali, apabila berjuta-juta biasanya mengerumuni perhimpunan tradisional di bandar-bandar besar, serta hari pertama orang Islam berpuasa di bulan Ramadan.

Namun semua festival telah dibatalkan buat tahun kedua kerana ancaman koronavirus.

Bangladesh telah dilanda gelombang baharu koronavirus yang menyaksikan jangkitan harian me-ningkat tujuh kali ganda manakala kematian meningkat tiga kali ganda.

Negara Asia Selatan itu telah merekodkan sekitar 700,000 kes dan hampir 10,000 kematian keseluruhannya.

Puluhan ribu orang bersesak-sesak dalam kereta api, bas dan feri terakhir sebelum sekatan berkuat kuasa pada jam 6 pagi. – AFP