Bangladesh mulakan vaksinasi pelarian Rohingya

KUTUPALONG, BANGLADESH, 10 OGOS – Bangladesh hari ini memulakan vaksinasi ke atas pelarian Rohingya yang tinggal di kem sesak ketika negara miskin Asia Selatan itu memerangi peningkatan virus mencecah rekod.

Pegawai kesihatan mengatakan sejumlah 2,600 kes dan 29 kematian direkodkan di kem-kem yang menempatkan 850,000 Rohingya namun pakar mengatakan ia kemungkinan lebih daripada itu. Fasa inokulasi awal akan menyaksikan sekitar 48,000 pelarian berusia lebih 55 tahun menerima suntikan vaksin buatan China, Sinopharm dalam masa tiga hari, ketua kesihatan tempatan, Mabubur Rahman memberitahu AFP.

Di Kutupalong, tempat bagi penempatan pelarian terbesar lebih 600,000 orang, pelarian Rohingya termasuk ramai warga emas berbaris untuk mendapatkan vaksin mereka daripada petugas kesihatan dalam sut perlindungan.

“Kami takutkan koronavirus. Kami dengar adalah bagus untuk kami divaksin, sebab itulah saya datang ke sini hari ini,” kata nenek berusia 60 tahun, Rahima Khatun.

“Kami perlukan vaksin untuk hidup mengharungi krisis semasa. Ia akan menyelamatkan kami daripada penyakit yang dibimbangkan semua orang,” kata Mohammad Zafar, seorang lagi warga emas. Pegawai mengatakan mereka menjalankan satu kempen kesedaran besar-besaran di kem-kem bersama sukarelawan yang mengunjungi setiap khemah usang didiami pelarian.

Timbalan pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Shamsud Douza memberitahu AFP bahawa kempen vaksinasi juga akan bermula minggu ini bagi sejumlah 18,000 Rohingya yang secara kontroversinya ditempatkan di sebuah pulau di Teluk Bengal.

Bangladesh menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dalam masa beberapa bulan kebelakangan dan kebanyakan daripada rakyat di negara 169 juta populasi itu kini di bawah perintah berkurung, termasuk kem-kem Rohingya. –AFP

Pelarian Rohingya menunggu giliran untuk divaksin di Ukhiya, Cox’s Bazar, Bangladesh, 10 Ogos. Kerajaan Bangladesh dan agensi bantuan mula memvaksin pelarian ketika kes meningkat di khemah-khemah luas menempatkan lebih 1 juta orang pelarian. –AP