Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangladesh teruskan berkurung

    DHAKA, 5 JULAI – Bangladesh hari ini melanjutkan perintah berkurung ketat di seluruh negara, mengekang orang ramai di kediaman mereka selama seminggu lagi selepas kes-kes koronavirus dan kematian mencatatkan rekod baharu.

    Pihak berkuasa mengatakan sejumlah 164 orang meninggal dunia dalam 24 jam lalu, manakala hampir 1,000 diuji positif – jangkitan paling tinggi sehari sejak kes pertama dikesan dalam Mac tahun lalu.

    Seorang ahli virologi terkemuka, Nazrul Islam dan ahli jawatankuasa teknikal berkuasa kebangsaan, meminta kerajaan melanjutkan sekatan, mengatakan situasi ‘amat teruk.’

    “Varian Delta bertanggungjawab bagi 70 peratus jangkitan. Varian ini amat mudah menular dan kita masih belum melihat kemuncaknya lagi,” katanya memberitahu AFP.

    Bangladesh setakat ini melaporkan hampir 950,000 jangkitan dan lebih 15,000 kematian, angka yang menurut pakar kemungkinan tiga atau empat kali lebih rendah berbanding jumlah sebenar kes dan kematian.

    Di bawah perintah berkurung dilaksanakan bermula awal bulan ini dan kini dilanjutkan sehingga 14 Julai, 168 juta rakyat Bangladesh hanya boleh meninggalkan kediaman bagi hal-hal kecemasan dan membeli barangan keperluan penting sahaja.

    Tentera dan polis akan meronda jalan-jalan dan tiada pengangkutan awam, manakala kedai dan pejabat pula ditutup. Pasaran makanan dibuka hanya beberapa jam sehari. – AFP

    Tentera Bangladesh berkawal di pos pemeriksaan di mana polis memeriksa dokumen pengenalan diri orang ramai ketika perintah berkurung dan sekatan perjalanan dilaksanakan bagi mengekang penularan koronavirus. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda