‘Banglo untuk diri sendiri’

Membeli rumah pertama pada usia yang muda tidak bermaksud pelakon dan penyanyi Naim Daniel mula berkira-kira untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Ujar Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 23, dia belum mempunyai perancangan ke arah itu kerana mahu fokus kepada kariernya.

“Alhamdulilah, rumah itu saya memang beli untuk diri sendiri sebab rumah keluarga sudah ada di Melaka.

“Saya beli bukan sebab nak kahwin, perancangan ke arah situ pun belum ada lagi. Nak pinang anak orang pun perlukan duit. Jadi, buat masa kini saya fokus pada karier seni.

“Nak kembangkan lagi kerjaya saya dalam industri ini. InsyaAllah selepas ini saya ada perancangan nak terjun dalam bidang perniagaan pula,” katanya kepada media pada Isnin.

Terdahulu Naim berkongsi foto rumah baharunya di Instagram dan meluahkan rasa syukur atas rezeki dapat membeli kediaman pertama.

Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan gembira dengan pencapaian penyanyi lagu ‘Sumpah’ itu kerana berjaya membeli rumah pada usia muda. Dalam pada itu, Naim turut berkongsi tips bagaimana dia menguruskan kewangannya sehingga berjaya memiliki sebuah rumah.

“Sejujurnya saya rasa sangat gembira dan teruja kerana dapat berbelanja terhadap sesuatu yang besar seperti aset rumah ini.

“Namun sebenarnya semua bergantung pada bagaimana cara kita menguruskan kewangan.

“Daripada dulu lagi saya memang suka menyimpan duit. Sebaiknya pada usia muda kita mula menabung kerana ia merupakan bekalan untuk hari yang akan datang apabila kita memerlukannya,” ujarnya.

Sementara itu, Naim tidak menyangka menerima penghargaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas penggunaan tulisan jawi dalam video muzik lagu terbaharunya, ‘Sembah’.

“Sebenarnya saya sendiri tak sangka akan dapat penghargaan. Namun apabila diberi penghargaan sebegini, ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk keluarkan karya yang lebih bagus di masa depan. – Agensi