Wednesday, October 4, 2023
23 C
Brunei

    -

    Bangunan agam era Renaissance dibuka semula di Venice

    VENICE – Selama berabad-abad arked yang tersergam indah mengapit Dataran St Mark di Venice telah melambangkan keanggunan, keharmonian dan kehebatan seni bina bandar berair berkenaan.

    Kini, bangunan agam era Renaissance dengan galerinya menjangkau sejauh mata memandang di utara dataran dijangka dibuka kepada orang awam buat kali pertamanya pada Jumaat, susulan pengubahsuaian selama tiga tahun.

    Bangunan yang dikenali sebagai Procuratie Vecchie, kini milik syarikat insurans Itali Generali, telah lama menjadi kerusi Bendahari St Mark, yang menguruskan aset bangunan di bandar Venice berabad-abad lamanya.

    Jemputan eksklusif untuk penduduk tempatan untuk melihat bahagian dalam istana bertingkat itu pada Jumaat telah pun menarik tempahan daripada lebih 3,000 penduduk Venice. Pintu akan dibuka kepada pelancong dari seluruh dunia mulai 13 April.

    Dibina pada abad ke-12, Procuratie Vecchie dimusnahkan oleh kebakaran pada 1512, bangunan Venetian-Byzantine diganti pada 1538 dengan batu permata Renaissance dalam gaya klasik, di mana gerbangnya – selain gereja dataran, menara loceng – merupakan salah satu ciri paling menonjol St Mark.

    Gambar menunjukkan bilik bacaan umum dalam bangunan Procuratie Vecchie selepas dipulihkan, salah satu kerja seni bina Renaissance Itali abad ke-16 di Venice. – AFP
    Pelawat melihat pameran interaktif dalam bangunan Procuratie Vecchie selepas menjalani kerja-kerja ubah suai di Venice. – AFP
    Cristiano Billia, pengarah di David Chipperfield Arkitek di Milan, bergambar di Dataran St Mark di Venice. – AFP

    Generali melantik arkitek British, David Chipperfield untuk memberikan nafas baharu kepada bangunan berkenaan.

    Walaupun Dataran St Mark merupakan salah satu tempat paling terkenal di dunia, ‘tidak ada seorang pun di antara kami yang benar-benar membayangkan apa yang berada di sebalik muka bangunan berkenan,’ beritahu Chipperfield kepada AFP, menambah adalah luar biasa untuk dataran yang begitu besar memiliki ‘wajah bangunan yang luar biasa.’

    “Dari segi luaran, semuanya kelihatan seolah-olah telah dibina dalam satu masa namun hakikatnya ia telah dibina oleh beberapa arkitek dalam tempoh 100 tahun,” kata beliau, menambah peranannya adalah membetulkan kebanyakan ‘perubahan sembarangan’ yang dilakukan dalam tempoh masa berkenaan.

    Selain memulihkan tingkat pertama dan kedua dan mempertingkat akses ke tingkat lebih tinggi, kerja-kerja juga termasuk membina tempat baharu untuk The Human Safety Net, yayasan yang dilancarkan Generali untuk membantu golongan rentan, termasuk pelarian.

    Kerja-kerja pengubahsuaian termasuk penambahan bilik pameran, auditorium dan kafe.

    Pengarah yayasan, Emma Ursich, berkata Procuratie Vecchie merupakan tempat yang ideal untuk kumpulan itu, memandangkan pegawai Venice yang tinggal dan bekerja di sana juga bertanggungjawab terhadap balu, anak yatim dan golongan miskin.

    “Maka bagi kami, menjadi satu penghormatan kepada sejarah dan kepada identiti bangunan ini dengan terbinanya The Human Safety Net di sini, yang memperjuangkan isu-isu sosial,” ujar Ursich.

    Ke kiri pintu masuk utama, singa Saint Mark, lambang bandar tetapi juga simbol Generali, ditatah dalam dinding marmar putih. Satu plak yang memperingati kelahiran syarikat insurans di Trieste pada 1831, yang memindah sebahagian daripada operasinya ke Venice pada tahun berikutnya.

    “Kami mempunyai sebuah bangunan yang telah terjejas untuk tempoh masa yang amat lama. Ia telah diubahsuai, ditambah, diubah,” kata Chipperfield. “Maka tanggungjawab kami adalah mengembalikan semula integriti kepada bangunan.”

    Projek pemulihan mengambil masa tiga tahun berikutan fasa reka bentuk dua tahun bertujuan memelihara seberapa banyak struktur yang sedia ada.

    Chipperfield memuji tukang-tukang Itali yang mahir yang ‘telah memulihkan bangunan selama seribu tahun itu.’

    Mereka bergantung pada teknik dan bahan yang membentuk sebahagian daripada tradisi Venice, seperti lepa dengan efek satin dikenali sebagai ‘marmorino’, dan ‘terrazzo’, gabungan serpihan marmar berwarna dan simen untuk lantai dan dinding.

    Di hadapan dataran terletaknya bangunan Procuratie Nuove abad ke-17. Tempat tinggal anggota dinasti Habsburg pada pertengahan 1800, struktur itu menghadap Taman Diraja di sepanjang Grand Canal.

    Taman itu dibuka semula kepada orang awam pada 2019 selepas menjalani kerja-kerja ubah suai selama lima tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    24 mati dalam tempoh 24 jam di India

    NEW DELHI, 3 Oktober - Sekurang-kurangnya 24 pesakit, separuh daripadanya anak damit baru lahir telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas di sebuah...