Bangunan Arkib Sarawak simpan maklumat penting berkaitan negeri

KUCHING, 7 DIS – Bangunan Arkib yang dibangunkan oleh Pustaka Negeri Sarawak akan menjadi bangunan yang sensitif, menyimpan pelbagai maklumat serta dokumen penting berkaitan negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata bangunan arkib itu akan menyimpan banyak data termasuk maklumat mengenai sejarah, sains dan teknologi, di samping pelbagai maklumat berkaitan negeri.

“Memang seharusnya Sarawak memiliki arkib sebegini kerana kita memiliki sejarah yang panjang,” katanya pada persidangan media di sini hari ini selepas meluangkan masa kira-kira sejam melawat tapak pembinaan bangunan berkenaan yang dijangka siap pada tahun 2024 itu.

Bangunan dua setengah tingkat berukuran 26,805 meter persegi itu akan dibangunkan di kawasan seluas 7.12 hektar berhampiran dengan bangunan Pustaka Negeri.

Sebahagian besar daripada bangunan itu dikhususkan kepada penyimpanan arkib serta rekod-rekod negeri, yang akan dilengkapi dengan Automated Storage and Retrieval System (ASRS).

Projek Bangunan Arkib itu juga dibangunkan untuk menyediakan tempat latihan serta pusat pendidikan bagi tujuan penyelidikan dan latihan. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Datuk Abang Johari Tun Openg (duduk) menggunakan teknologi ‘Virtual Reality’ (VR) melihat tapak Projek Bangunan Arkib di Pustaka Negeri Sarawak, semalam. – Bernama