Bangunan bersejarah musnah dalam kebakaran

CAPE TOWN, 19 APRIL – Bangunan bersejarah termasuk kincir angin berusia 300 tahun dan rumah persendirian rosak akibat kebakaran di lereng Table Mountain pagi semalam, serta mencederakan sekurang-kurangnya dua anggota bomba, kata pihak berkuasa.

Kebakaran bermula jam 8:45 pagi waktu tempatan di bahagian timur Table Mountain di sini, dikatakan marak dan bergerak menuju ke Peringatan Rhodes, sebelum merebak ke kampus Universiti Cape Town. Mostert’s Mill, sebuah kincir angin ladang yang dibangun sekitar tahun 1796, turut musnah akibat kebakaran, kata pemerintah Cape Town, lapor agensi berita Xinhua. Selain itu, sebuah perpustakaan kampus universiti di Afrika Selatan musnah dalam kebakaran yang memaksa lebih 4,000 penuntutnya dipindahkan semalam.

Kebakaran awal di lereng Table Mountain berhampiran perkarangan University Cape Town itu dilapor merebak dan menyambar tingkap perpustakaan yang menempatkan arkib dan koleksi buku bersejarah.

Bahagian kajian Afrika bangunan 1930 dan bilik bacaan berlantaikan parket itu ‘musnah dijilat api,” kata ketua Perpustakaan UCT Ujala Satgoor dalam Facebook semalam. Sekurang-kurangnya dua tingkat Perpustakaan Jagger itu terbakar, menurut laporan berita tempatan. Di luar kampus universiti, angin membuatkan api merebak ke kawasan rumput kering, dan sebahagian dari Restoran Rhodes Memorial juga terbakar, lapor media Cape Town.

Lebih 100 anggota bomba dikerahkan ke kampus universiti dan ke Taman Negara Table Mountain. – AFP

Anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran di Perpustakaan Jagger, di Universiti Cape Town selepas kebakaran hutan melanda Table Mountain, di Cape Town kelmarin. – AFP