Bangunan di bawah Jambatan RIPAHS boleh dimanfaatkan

Keluaran surat pembaca kali ini, saya ingin mengutarakan keprihatinan saya terhadap bangunan di bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).

Bilakah bangunan tersebut akan dibukakan kepada orang ramai atau adakah ia akan digunakan? Saya percaya bahawa jambatan tersebut akan menjadi tarikan utama pelancong yang berkunjung ke negara ini akan tetapi bangunan tersebut seakan-akan mencemarkan mata memandang, dikelilingi oleh pagar logam atau atap yang menyakitkan mata dan nampaknya sudah ditinggalkan sejak tahun 2017 lagi.

Saya mendapat tahu bahawa bangunan itu sepatutnya menjadi Pusat Lawatan dengan memaparkan maklumat dan galeri tentang jambatan berkenaan, cenderamata dan sebagainya malah terdapat juga informasi akan ada restoran dan kafe di kawasan itu.

Malah kawasan itu boleh digunakan sebagai terminal untuk bot Temburong dan Pusat Pelayaran Sungai bagi pelancong untuk menaiki Brunei Riveri Cruise. Saya berharap pihak berkuasa boleh melihat dan menilai perkara-perkara ini apatah lagi negara kita akan menjadi tuan rumah kepada Forum Pelancongan ASEAN 2020 (ATF) pada bulan Januari tahun hadapan. – Pengiran Rusli