MENDONGGAK tinggi melihat sebuah bangunan kayu, Erol Baytes mengelengkan kepalanya.
“Saya tidak rasa ia akan mampu bertahan untuk musim salji yang seterusnya,” katanya sambil melihat kepingan jubin yang retak di kakinya.
Dibina pada penghujung abad ke-19 di sebuah pulau, Istanbul, bangunan kayu yang unik, enam tingkat ini pernah menjadi kediaman kepada anak-anak yatim Ortodoks Yunani sehinggalah ia ditutup pada awal tahun 1960-an.
Selepas lebih dari lima dekad, kini, bangunan yang dinamakan sebagai Bangunan Anak-anak Yatim Prinkipo Greek Orthodox dalam risiko untuk roboh.
Dalam usaha untuk memulihara dan menjaga khazanah infrastruktur ini, yang mana dikatakan sebagai sebuah bangunan kayu terbesar di Eropah dan kedua terbesar di dunia, pihak kebudayaan warisan NGO Europa Nostra telah menyenaraikan bangunan ini sebagai salah satu di antara tujuh tapak warisan yang terancam.

“Ia merupakan satu keajaiban, melihat ia masih lagi berdiri teguh,” kata Baytas, yang telah menghabiskan masa selama 30 tahun menjaga bangunan kayu ini.
Terletak di kawasan berbukit, Buyukada, di Pulau Princes, di kawasan laut Marmara, lazimnya para pengunjung akan mengambil masa 90 minit dengan menaiki feri dari pusat bandar Istanbul. Pada mulanya dikenali sebagai sebuah kasino mewah dan hotel, bangunan ini direka khas dan dikendalikan oleh The Compagnie des Wagons-Lits, sebuah syarikat pengembaraan yang terkenal dalam menjalankan operasi ‘The Orient Express’.
Bangunan ini didirikan bertujuan untuk menarik lagi pengembara kaya dari Eropah yang datang secara berkumpulan ke Istanbul semasa zaman kegemilangan periode Belle Epoque,dan kebanyakan mereka datang dengan menggunakan kereta api.
Direka bentuk oleh Alexandre Vallaury, seorang arkitek dari Perancis selepas Hotel Pera Palace Istanbul, hotel kayu ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1898, akan tetapi tidak berupaya untuk mendapatkan lesen operasi dari Sultan Abdulhamid II disebabkan oleh salah satu operasinya yang tidak bermoral iaitu perjudian.
Dengan keadaan lantai yang megah, struktur bangunan kayu yang tersusun rapi itu telah dijual kepada isteri pemilik bank yang kaya dari bandaraya Yunani, yang mana kemudiannya menyerahkan bangunan itu kepada Ecumenical Patriarchate of Constantinople.
Dan pada tahun 1903, Patriarchate itu kemudian menukar bangunan itu menjadi bangunan anak-anak yatim dan telah menjaga sekitar 5,800 anak-anak yatim Ortodoks sehinggalah ia ditutup sepenuhnya pada tahun 1964.
Apa yang terjadi pada rumah saya?
“Tidak dapat dinafikan, ia sebenarnya bangunan yang tercantik sekali di Istanbul,” kata Yani Kalamaris, yang tinggal dan bekerja di bangunan itu sebagai seorang guru antara tahun 1955 sehingga 1961.
Duduk di sebuah kerusi kulit di ruang legar sebuah hotel terkemuka di Istanbul, dia kemudiannya mengambil begnya dan menarik satu foto album yang agak sedikit pudar serta teringat kembali detik nostalgia bangunan itu yang mana sebelum ini dikenalinya sebagai kediamannya.
“Gambar ini dirakam ketika selesainya satu acara,” kata Kalamaris, kini berusia 83 tahun sambil menunjukkan sekeping gambar dirinya yang berdiri di tengah-tengah bersama dengan sekumpulan kanak-kanak, berlatarbelakangkan sebuah kebun yang cantik dan pemandangan laut menyegarkan.

Pada hari ini, apa yang tinggal adalah alang bumbung yang sudah membengkok. Semenjak bangunan anak-anak yatim itu ditutup, bangunan itu kemudiannya dikenali sebagai bangunan berhantu.
Dengan jendela yang terbuka, orang ramai kadang kala terlihat seperti ada yang memerhati, bunyi burung gagak sentiasa kedengaran dan banyak lagi.
Tidak ada sesiapa yang menjaganya, struktur bangunan itu semakin punah dan terhakis disebabkan keadaan angin kencang yang sentiasa berlaku di Istanbul, begitu juga ketika musim panas dan juga musim sejuk.
Meskipun sudah kelihatan buruk di luar, namun 220 buah bilik di dalamnya masih kelihatan teguh dan memperlihatkan keaslian ciptaannya, seperti dewan besar yang dipenuhi dengan balkoni-balkoni dan jubin lantai yang klasik serta unik.
“Pernah sekali, seorang warga emas yang pernah menghuni di bangunan ini telah datang, sebaik sahaja masuk ke dalam bangunan ini, dia jatuh pengsan dan berkata, apa yang telah terjadi kepada rumah saya, saya memeluknya dan menangis seperti kanak-kanak,” kata Baytas kepada media AFP.
‘Mesti dipelihara’
Bangunan ini telah ditutup oleh pihak berkuasa Turki pada bulan April 1964, disebabkan oleh tekanan politik yang berlaku antara Ankara dan juga Athens berikutan hal mengenai Cyprus, pergolakan yang mana akhirnya menyaksikan Turki telah mengambil alih pulau itu sedekad kemudian.
Pada hari ini, minoriti penduduk Ortodoks Yunani Istanbul , sekitar 3,000 orang bertekad untuk menyelamatkan khazanah itu sebelum ia terlewat untuk diselamatkan.
“Bangunan ini dimiliki oleh semua penduduk Turki, masyarakat Istanbul, budaya tempatan,” kata Aspostolos Poridos, ketua arketik Patriarchate. “Struktur bangunan ini merupakan satu memori, anda perlu memelihara dan melindunginya, untuk pengetahuan generasi-generasi seterusnya,” tambahnya lagi kepada AFP.
Pada bulan April, ketua biskop Constantinople dan Ecumenical Patriarch Bartholomew meminta kepada Ankara, untuk satu pertolongan bersama dengan presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Namun permohonan itu datang ketika ketegangan berlaku antara dua buah negara itu, yang berkaitan beberapa isu termasuk perlindungan Byzantine dan Warisan Yunani di Istanbul. – AFP