Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunan PJSC terima rating Platinum Green Mark

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Bangunan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) iaitu sebuah hartanah di bawah Bandtree Sdn Bhd telah melakar sejarah penting apabila ia menjadi projek pertama di Negara Brunei Darussalam yang mencapai tahap tertinggi prestasi alam sekitar, menerusi pengiktirafan Platinum Green Mark.

    Pencapaian itu diterima pada 19 Januari 2023 daripada Building and Construction Authority (BCA), Singapura dengan pencapaian bersejarah berkenaan diraikan dalam Majlis Mengetengahkan Persijilan Green Mark (Tanda Hijau) bagi PJSC yang berlangsung di PJSC, Jerudong, hari ini.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bandtree Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Bandtree Sdn Bhd, Awang Muhd Syukri Nur bin Haji Mohd Jais.

    Dalam kata alu-aluannya, Awang Muhd Syukri Nur menyatakan bahawa Green Mark merupakan sistem rating BCA untuk menilai kemesraan alam aset infrastruktur dan memberikan pengiktirafan kepada projek-projek yang mengguna pakai langkah serta strategi kemampanan alam sekitar.

    Ia menyediakan rangka kerja komprehensif bagi penilaian keseluruhan prestasi alam semula jadi bangunan-bangunan baharu dan sedia ada untuk mempromosikan rekaan mampan serta amalan terbaik serta operasi dan pembinaan bangunan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyempurnakan perasmian plak Platinum Green Mark. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina bergambar ramai bersama para pegawai kanan PJSC dan Bandtree. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau menambah, setelah melalui proses penilaian terperinci, bangunan PJSC telah memperoleh 103 mata dan menerima persijilan Platinum Green Mark dengan penganugerahan rating berkenaan dibuat pada 19 Januari lalu.

    Persijilan itu berjalan bagi tempoh selama tiga tahun, tambahnya, di mana dengan Platinum Green Mark yang berprestij berkenaan, bangunan PJSC komited untuk memenuhi standard kemampanan yang ketat dan mengurangkan jejak karbon serta melaksanakan usaha berterusan untuk menjadi sebuah bangunan mesra alam.

    Majlis seterusnya menyaksikan perasmian plak Platinum Green Mark yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina.

    Green Mark merupakan sebuah sistem rating yang direka untuk menilai prestasi dan impak persekitaran sesebuah bangunan.

    Rating berkenaan dinilai dengan bagaimana sesebuah bangunan mengurangkan penggunaan sumber bahan, air dan tenaga untuk menjimatkan kos serta memini-mumkan impak alam sekitar.

    Ia merupakan satu pencapaian signifikan bagi Bandtree Sdn Bhd, PJSC dan Massutera Engineering Sdn Bhd (MESB) untuk menyediakan amalan perniagaan mampan bagi melindungi alam semula jadi dan memulihara sumber asli, mengurangkan jejak karbon serta membantu mengurangkan kesan negatif perubahan iklim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda