Bangunan runtuh di Karachi ragut 13 jiwa

KARACHI, PAKISTAN, 9 JUN – Polis Pakistan hari ini mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh ketika sebuah bangunan runtuh di bandar pelabuhan selatan Karachi pada hari sebelumnya.

Hanya satu mayat yang ditemui pada mulanya ketika bangunan itu runtuh, kata pegawai kanan polis, Altaf Hussain.

Polis hari ini berkata bahawa jumlah kematian meningkat kepada 13 orang selepas anggota penyelamat dengan teliti membuang runtuhan untuk mencari lebih banyak mangsa yang terperangkap di bawahnya.

Sebilangan besar pangsapuri kosong selepas bangunan itu diperintahkan untuk dikosongkan baru-baru ini kerana diisytiharkan tidak selamat pada bulan Mac, setelah satu keretakan dilihat pada dinding, kata Hussain.

Penyelamat mengatakan, insiden itu berlaku ketika beberapa beberapa orang penduduk masuk ke dalam bangunan itu untuk mengambil barang-barang mereka.

Di antara mangsa adalah tujuh lelaki, lima wanita dan seorang remaja perempuan, kata Hussain.

Dia menambah bahawa sekurang-kurangnya enam orang mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan menjangkakan mungkin ada le-bih banyak lagi yang terperangkap di bawah runtuhan.

Insiden bangunan runtuh merupakan perkara biasa yang sering berlaku di Pakistan berikutan dengan piawaian pembinaan yang tidak begitu mengikut peraturan dengan bahan binaan yang murah dan garis panduan keselamatan yang sering kali diabaikan untuk mengurangkan kos pembinaan satu-satu bangunan. – AFP

Anggota penyelamat ketika berada di tempat runtuhan bangunan berkenaan. Polis Pakistan kelmarin mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh ketika sebuah bangunan runtuh di bandar pelabuhan selatan Karachi. – AFP