Bangunan terbakar libatkan peralatan elektrik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Satu insiden kebakaran melibatkan peralatan elektrik telah dilaporkan berlaku di sebuah bangunan di kawasan Kampung Menglait, Gadong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Berakas, Cawangan Operasi C yang diketuai oleh PMK SO Haji Nordin bin Haji Lias bersama 10 orang anggota bomba telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8 malam.

Kenyataan menyatakan bahawa api telah padam dengan sendirinya sebelum jentera bomba sampai. Walau bagaimanapun, anggota bomba segera bertindak memakai alat pernafasan dengan membawa hos dan alat pemadam api jenis debu kering 4.5 kilogram bagi memastikan tidak ada tanda-tanda kebakaran berlaku.

Semua penghuni bangunan sudah keluar dari bangunan sebelum jentera bomba sampai manakala itu, punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP terus mengingatkan orang ramai untuk memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering 2kg dan selimut api, selain memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa pengawasan serta jika terdapat kebocoran pada gas dinasihatkan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan, memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba ketika melakukan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada tanda-tanda kebakaran berlaku pada bangunan tersebut. – Gambar serahan JBP