Bangunan WARGAMAS dirasmikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Pertubuhan WARGAMAS kini mempunyai sebuah bangunan sebagai pusat tadbir urus pertubuhan berkenaan dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS di Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan bangunan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Hajah Nurhayana Janis binti Abdullah.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan & Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Yang Di-Pertua Pertubuhan WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam kata alu-aluannya pada majlis itu berkata, dengan adanya bangunan ibu pejabat, rancangan strategik pertubuhan itu akan terus diperkukuhkan untuk mendakap arus perubahan dengan pertubuhan akan terus bergerak ke hadapan bersama-sama dengan agenda warga emas negara.

Beliau menambah, ia akan dijadikan sebagai perubahan budaya kerja yang lebih baik, efisien dan produktif. Di sam-ping itu, dengan adanya ibu pejabat pertubuhan itu, ia boleh meningkatkan kebajikan dan ekonomi ahli-ahli pertubuhan khasnya dan warga emas seluruhnya.

Dalam hubungan itu, Haji Abu Bakar menyeru semua pimpinan jawatankuasa tadbir tertinggi dan jawatankuasa kerja untuk terus bergerak aktif secara bersama, meneruskan babak baharu dengan lebih strategik dan fokus serta sama-sama mengangkat martabat negara dalam menangani isu dan permasalahan warga emas dan seterusnya mengangkat ekonomi ahli-ahli WARGAMAS.

Bangunan Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS di Berakas yang baru dirasmikan.