Bangunkan kapasiti asnaf

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Tamu Usahawan Asnaf Zakat yang mengetengahkan 54 usahawan telah dirasmikan di Dewan Mau’izzah, Bangunan Darul Huda Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, di mana ia akan berlangsung selama empat hari.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan tamu usahawan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan isteri.

Tamu Usahawan Asnaf Zakat ini merupakan yang pertama kali diadakan dan ia merupakan kesinambungan daripada Ekspo Souq Al-Qudwah yang telah diadakan pada Julai lalu di mana para peserta telah berjaya memasarkan produk mereka melebihi $10,000 yang disertai oleh 41 usahawan.

Tamu berkenaan merupakan usaha dan inisiatif PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kolaborasi Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam usaha untuk membangun kapasiti, keupayaan dan kemahiran serta menyediakan platform market place dalam sama-sama membantu asnaf penerima zakat seperti Asnaf Fakir Miskin dan Asnaf Mualaf untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Antara objektifnya adalah untuk menjana minat golongan asnaf untuk mengupayakan diri dalam bidang keusahawanan dan memberikan peluang pembangunan jati diri dalam pengupayaan keusahawanan.

Tetamu kehormat melancarkan Tamu Usahawan Asnaf Zakat di kawasan letak kereta Bangunan Darul Huda PDI.
Tetamu kehormat dan isteri ketika menyaksikan pameran jualan.

Ia juga memberikan peluang kepada para usahawan untuk berniaga dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum dan memberi peluang serta ruang persaingan yang sihat sekali gus meningkatkan mutu dan kualiti disamping membina semangat jati diri untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Tamu berkenaan juga menitik beratkan konsep mindset change dalam kalangan golongan penerima zakat supaya tidak akan sentiasa terus bergantung harap kepada agihan wang zakat, tetapi menjadikan mereka kepada golongan yang berupaya untuk mengeluarkan zakat.

Sebelum perasmian tamu berkenaan di kawasan letak kereta Bangunan Darul Huda, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada tiga orang wakil peserta tamu yang terdiri daripada Muallafpreneuer, vendor Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) dan vendor MUIB.

Seterusnya selepas perasmian tamu usahawan tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama turut melawat pameran jualan para usahawan Asnaf Zakat.

Antara kategori jualan pada tamu berkenaan ialah produk kraf tangan, produk makanan (basah dan kering), produk busana, dan produk agrimakanan dan pertanian.

Selain daripada pameran-pameran dan jualan produk-produk daripada para usahawan, berbagai-bagai kegiatan dan aktiviti sampingan telah diatur antaranya kuiz spontan, aktiviti memanah dan aktiviti menunggang kuda.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, para pengarah dan penolong pengarah, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan KHEU serta pegawai dari BIBD.