Bangunkan masyarakat mandiri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) memerlukan anjakan paradigma ke arah pengurusan pentadbiran yang lebih cekap, strategik dan sejajar bagi menepati kewajipan dan tanggungjawab sosialnya terutamanya dalam usaha menangani isu-isu kemiskinan dan pengangguran.

Sehubungan itu, visi membangun masyarakat mandiri dalam pelan strategiknya yang sudah pun dikemaskinikan disambut baik bagi menjadikan Yayasan terus relevan mengharungi perubahan masa dan keadaan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan menyambut baik pelan membangun masyarakat mandiri itu semasa berkenan mengurniakan sabda ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Tadbir Yayasan ke-2 bagi 2019 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda, memenuhi sasaran membangun masyarakat mandiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan atau agensi berkenaan, adalah penting untuk dijadikan fokus utama Yayasan dalam beberapa tahun mendatang.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya menekankan, apa yang penting yang perlu dititik beratkan adalah pelan strategik berkenaan hendaklah tidak statik, sesuai dengan sifatnya sebagai living document yang perlu terus diperkemaskinikan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tetap dan terus relevan dalam memenuhi komitmennya selaras dengan tujuan penubuhannya.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan sabda ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Tadbir Yayasan ke-2 di Bilik Mesyuarat, Bangunan JPM, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Mesyuarat turut dihadiri YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.
Deputy Chairperson II Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Deputy Chairman of YSHHB Board of Directors Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah and Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Minister of Development

Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia turut melahirkan rasa gembira bahawa pengemaskinian pelan strategik berkenaan juga memberi keutamaan kepada pendekatan whole of nation dengan penglibatan pelbagai agensi bagi sama-sama menangani isu-isu sosial selain meningkatkan lagi kerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam sama-sama mendukung usaha yang dijalankan ke arah memeduli golongan yang memerlukan di negara ini.

“Oleh itu, saya berharap pelan strategik ini akan dapat memberikan hala tuju yang jelas kepada pihak pengurusan Yayasan supaya segala tindakan yang akan diambil akan lebih bersistematik, terarah dan terancang,” tambah Duli Yang Teramat Mulia.

Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia turut menyentuh mengenai status perkembangan Kompleks Yayasan yang mana kerja-kerja pembaikan sedang giat diusahakan.

“Saya berharap kerja-kerja ini akan dapat disiapkan mengikut rangka masa yang telah ditetapkan,” sabdanya.

Mengenai status perkembangan Kampung Bolkiah pula, Duli Yang Teramat Mulia mengambil maklum bahawa kajian dan pemeriksaan terhadap keadaan rumah-rumah di kampung berkenaan telah pun dilaksanakan.

“Oleh itu, saya berharap langkah-langkah pembaharuan yang akan dijalankan hendaklah tidak tertumpu kepada membuat kerja-kerja pembaikan semata-mata, malah yang lebih penting ialah berupaya mewujudkan iklim komuniti kampung yang kondusif bukan sahaja bagi masyarakat setempat bahkan juga dapat menjana aktiviti perekonomian di kampung berkenaan,” Duli Yang Teramat Mulia melahirkan harapan.

Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan iaitu Timbalan Pengerusi I, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku timbalan pengerusi II.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Antara agenda yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah Laporan Agenda Tetap Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan iaitu Audit dan Status Penyelesaian Penemuan Audit, Perkembangan Kompleks Yayasan dan Kampung Bolkiah; Laporan Sumbangan dan Bantuan bagi 2019; Laporan Tahunan Kewangan 2019; dan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan.