Bangunkan mesej pertanian

KOTA KINABALU, 10 OKT – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bercadang membangunkan program Mini Estet Sejahtera Kampung (Mesej) Pertanian di negeri ini bagi memanfaatkan kawasan tanah yang belum diterokai sebagai sumber tanaman komersial.

Menterinya Ewon Benedick berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Mentor Pertanian Negara Datuk Yap Yun Fook untuk membangunkan projek itu.

Ewon, yang membuat tinjauan di kawasan ladang ternakan dan tanaman milik Yap di Kampung Ansip, Keningau baru-baru ini berkata kepakaran usahawan pertanian tersohor Asia itu boleh dimanfaatkan bagi membangunkan tanah milik KPLB Sabah yang belum diusahakan sebagai Mesej Pertanian dengan lebih baik.

“KPLB Sabah mempunyai tanah belum diterokai dan kita mencadangkan ia dibangunkan untuk tanaman yang mempunyai nilai komersil seperti disyorkan oleh beliau (Yap). Peserta Mesej akan membuat penanaman dan Yap akan membeli hasil tanaman itu daripada peserta Mesej.

“Ini satu kerjasama baik. Bagaimanapun, kita akan memuktamadkan perkara itu selepas mengadakan perbincangan rasmi dengan beliau (Yap),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ewon berkata Kabinet negeri telah bersetuju supaya KPLB Sabah menerokai tanaman lain selain tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit, justeru, input serta pengalaman Yap yang turut berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri dalam sektor pertanian amat berguna kepada kementerian itu. – Bernama