Bangunkan negara berpaksikan akhlak Rasulullah SAW

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Salah satu akhlak agung Nabi Muhammad SAW ialah membudayakan sabar yang diamalkannya daripada usia remaja sehingga dewasa.

“Baginda tidak putus-putus diuji dengan pelbagai rintangan dan tentangan oleh penentang Baginda, tetapi berkat kesabaran menghadapinya, Baginda akhirnya berjaya membangun negeri dan ummah yang sangat digalati.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyarankan umat Islam menjadikan akhlak mulia Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan dalam titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1442 Hijrah hari ini dari Istana Nurul Iman, bertepatan dengan tema sambutan ‘Membangun dengan Akhlak Nabi Muhammad SAW.

“Kita wajib bersyukur atas limpah kurnia Allah SWT dapat mengizinkan kita terus meraikan Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1442 Hijrah ini.

Ini kerana pada tahun ini, kita di Brunei seperti di mana-mana, sedang berhadapan dengan ujian luar biasa penularan wabak koronavirus. Namun Brunei, Alhamdulillah berkat kesepaduan dan cara kita menangani penularan ini, telah menyelamatkan kita dan negara.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menyeru umat Islam menghiasi diri dengan akhlak Nabi Muhammad SAW dalam usaha membangunkan negara, ketika berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1442 Hijrah. – Gambar oleh Infofoto

Maka dengan itu, dapatlah kita menjalani kehidupan biasa dan selesa, titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyanjung tinggi sikap rakyat dan penduduk yang mengamalkan budaya sabar dalam menghadapi ujian getir dengan terus mematuhi arahan dan peraturan kerajaan.

Baginda Sultan turut menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam memang selamanya akan berada dalam era membangun, pembangunan yang dilakukan tidak akan ada titik noktahnya.

Sehubungan itu, dalam situasi ini, adalah sangat sesuai untuk menjadikan akhlak Rasululullah SAW sebagai suluh atau panduan dalam membangunkan negara supaya semua pembangunan yang ada mengikut landasan agama.

Titah Baginda lagi, cara Nabi Muhammad SAW membangun sangat dikagumi, dengan terlebih dahulu membangunkan peribadi Baginda sebelum membangunkan sebuah negara, sehingga berjaya melahirkan peribadi-peribadi besar seperti Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Othman, Sayyidina Ali dan ramai lagi sahabat-sahabat Baginda.

Membangunkan peribadi itu sama ertinya mengisi peribadi itu dengan akhlak adil, berani, sabar, taat, amanah dan seumpamanya.

“Apabila peribadi itu telah padat berisi dengan akhlak yang mulia, barulah Nabi Muhammad SAW mula bergerak membangun negeri dengan dibantu dan didokong oleh peribadi besar yang kaya dengan akhlak mulia itu,” titah Baginda.

Baginda Sultan turut memberi contoh antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah mengharamkan rasuah, sekiranya diguna pakai dan berjalan mantap dalam negara, setentunya ia menjanjikan sebuah negara yang sejahtera dan bahagia.

“Tidak diragukan lagi, negara yang bebas daripada rasuah adalah negara yang berkat, penuh dengan rahmat serta terlepas daripada laknat,” tegas Baginda.

“Begitu juga satu contoh lain, akhlak Rasulullah SAW ialah mengamalkan ihsan dan menunaikan amanah dan jika satu pembangunan itu berpaksikan ihsan dan amanah, pembangunan seperti itu pasti membuahkan kebajikan.

“Begitulah luhur dan tingginya akhlak Rasulullah SAW, jika kita atau siapa saja yang memakai akhlak ini mampu untuk melahirkan sebuah dunia yang bahagia,” tambah Baginda.

Baginda bertitah, itulah hakikat ditentukan oleh Allah sendiri kepada nabiNya, Muhammad SAW sebagai mana termaktub dalam Al-Quran Surah Al-Anbiya ayat 70 yang tafsirnya bermaksud, ‘Dan tiadalah Kami mengutus mu wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam seluruhnya’.

“Ini adalah perisytiharan yang tidak dapat dipertikai atau dibantah, betapa tingginya kedudukan Nabi Muhammad SAW itu selaku pembawa rahmat,” titah Baginda lagi.

Oleh itu, marilah kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, semoga dengannya, Insya-Allah kita mendapat syafaat di dunia dan di akhirat, seru Baginda mengakhiri titah berkenaan.