‘Bangunkan semula integriti negara’

CAPE TOWN, 8 Feb – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa kelmarin mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 8 Mei, tatkala parti ANC yang memerintah dilihat akan mengembalikan populariti yang merosot akibat pertumbuhan yang lemah, pengangguran dan rasuah.

Ramaphosa berusaha keras untuk menyuarakan rasa optimis dan berkata Afrika Selatan kini ‘lebih banyak harapan’ selepas dia mengambil alih kuasa satu tahun lalu daripada pendahulu Jacob Zuma yang dicemari skandal rasuah.

Menyampaikan ucapan semasa berada di parlimen, Ramaphosa berkata kemajuan telah dibuat dalam menangani rasuah dan menghidupkan semula ekonomi yang lemah.

Zuma, yang tidak hadir di kalangan bekas presiden yang menghadiri ucapan itu, terpaksa meletak jawatan atas desakan penggubal undang-undang ANC akibat skandal rasuah yang sedang disiasat oleh sebuah suruhanjaya kehakiman di Johannesburg.

“Setahun yang lalu, kami meneruskan pertumbuhan dan pembaharuan,” kata Ramaphosa.

“Kami memutuskan untuk membangunkan semula negara kita dan memulihkan integriti institusi kita.”

Rasuah yang dilakukan oleh Zuma melibatkan sekitar berjuta-juta dolar yang dihantar melalui kerajaan dan agensi kerajaan yang memberi kontrak penipuan kepada syarikat yang disukai sebagai balasan dari rasuah.

“Kita perlu menangani isu ini demi menjaga kepentingan institusi awam, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang, di mana integriti dan keupayaan untuk memenuhi mandatnya telah terkikis sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Ramaphosa, yang bertindak sebagai Naib Presiden Zuma.

Menyampaikan kritikan tajam mengenai rekod Zuma, Ramaphosa memberitahu penggubal undang-undang bahawa ‘salah urus dan rasuah telah melemahkan’ syarikat-syarikat milik negara yang dipenuhi hutang, yang mengakui ia menjadi ancaman utama kepada ekonomi. – AFP

Ramaphosa ketika menyampaikan ucapan di Parlimen Afrika Selatan pada 7 Februari lalu di Cape Town. – AFP