Friday, September 30, 2022
25.5 C
Brunei

Bangunkan Tawau sebagai bandar sempadan seiring perpindahan ibu kota Indonesia

-

TAWAU, 12 OGOS – Pembangunan Tawau sebagai bandar sempadan akan diperhebatkan bagi meraih manfaat ekonomi seiring dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata langkah itu dilihat lebih baik berbanding membina sebuah bandar baharu kerana Tawau merupakan kawasan yang telah dilengkapi prasarana termasuk lapangan terbang dan pelabuhan, serta pembangunan kemudahan asas lain seperti jalan raya dan bekalan air.

“Saya secara peribadi dan semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Tawau (MPT) setuju. Pendekatan kita adalah memajukan Tawau itu sendiri, jadi tidak perlu kerajaan melabur lebih banyak duit untuk membina bandar baharu sebaliknya bandar yang sudah ada ini kita bina semula ke arah lebih baik.

“Kita bangunkan kemudahan yang lebih baik, buat jalan raya berkualiti menghubungkan Tawau dengan sempadan Indonesia agar pelancong dari negara jiran itu teruja datang ke bandar ini untuk melancong dan melakukan aktiviti perniagaan lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengurangan Kompaun MPT di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di kawasan Serudong, Kalabakan yang menjadi pintu masuk Simanggaris, Indonesia masih perlu dilaksanakan bagi pemeriksaan rentas sempadan.

Sementara itu, Masidi berkata cadangan MPT untuk mewujudkan Pusat Kebudayaan Antarabangsa di bandar ini akan dibentangkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk pertimbangan bagi pembangunan pada tahun depan. – Bernama

Datuk Seri Masidi Manjun menjawap soalan pemberita selepas mendengar taklimat Pembangunan MPT yang disampaikan sendiri oleh presidennya, Joseph Pang di Dewan MPT, kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -