Banjir: 25 maut di Kemboja

PHNOM PENH, 19 OKT – Banjir kilat di Kemboja setakat ini meragut 25 nyawa dan memaksa pemindahan 37,396 orang, menurut jurucakap bagi Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana (NCDM), Seak Vichet hari ini.

Hujan akibat taufan mengakibatkan banjir di 19 daripada 25 buah bandar dan wilayah di negara beraja itu bermula awal bulan ini, katanya, menambah bahawa 312,224 orang terjejas. “Setakat pagi ini, banjir telah meragut nyawa 25 orang,” dia memberitahu agensi berita Xinhua, menambah bahawa wilayah paling teruk terjejas termasuklah Banteay Meanchey, Battambang, Pursat dan Kandal serta bahagian sub-bandar barat daya Phnom Penh.

Banjir turut menenggelamkan 73,720 buah rumah, 293,177 hektar sawah dan ladang lain serta menjejaskan 77 kilang pakaian dan kasut di Phnom Penh dan wilayah Kandal, dengan 23 daripadanya menutup operasi sementara. – Xinhua

Pekerja kilang pakaian mengumpulkan pakaian sebelum mengangkutnya ke kawasan lebih selamat daripada kilang yang terjejas teruk akibat banjir di Prek Chey, di pinggir Phnom Penh, Kemboja. – AP