MANILA, 12 Ogos – Hujan lebat dan banjir yang melanda kawasan di Filipina dalam beberapa hari ini, menyebabkan hampir 383,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut agensi bencana hari ini.
Berdasarkan laporan terkini, sejumlah 88,000 keluarga atau 383,000 orang dari tempat yang berlainan di Pulau Luzon, Filipina telah dipindahkan kerana hujan lebat dan banjir secara besar-besaran.
Metro Manila dan wilayah Rizal yang berdekatan adalah tempat yang paling terjejas akibat banjir tersebut.
Di kedua-dua kawasan tersebut, Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) berkata, kira-kira 40,000 orang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat untuk mengelakkan peningkatan paras air.
Sungai utama di Marikina, sebuah bandaraya di Metro Manila telah penuh malam semalam, memaksa kerajaan setempat untuk memindahkan 3,783 keluarga atau 17,676 orang penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai menuju ke kawasan 19 penempatan sementara kerajaan.

Jurucakap NDRRMC, Edgar Posadas berkata tiada kematian yang berkaitan dengan banjir dilaporkan hari ini.
Hujan lebat terus memenuhi sungai di Luzon dan beberapa bahagian di Filipina tengah minggu ini.
Biro kaji cuaca negara meramalkan bahawa satu lagi badai tropika akan terus meningkatkan lagi monsun barat daya yang boleh membawa ‘hujan lebat yang meluas di bahagian barat Luzon sehingga Isnin (esok)’.
NDRRMC menaikkan status waspada pada pukul 8:00 pagi hari ini kerana agensi itu memantau secara dekat usaha bantuan kepada komuniti terjejas.
NDRRMC berkata lebih daripada 105 juta peso anggaran nilai bantuan telah diberikan kepada penduduk yang terjejas.
“Dengan hujan yang berterusan dijangka melanda sehingga Isnin ini, penduduk di kawasan banjir dan rendah dinasihati untuk mendengar panggilan unit kerajaan tempatan mereka mengenai pemindahan awal,” kata NDRRMC dalam satu kenyataan.
Agensi itu mendesak orang ramai ‘untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu’ dan sentiasa berwaspada. “Semua orang dinasihatkan untuk sentiasa peka mengenai amaran kecemasan dan kemas kini cuaca.”
Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa 762 daripada 961 kawasan banjir telah mengalami air surut, manakala selebihnya, 199 kawasan masih lagi dibanjiri, katanya.
“Kami mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga,” kata Roque. – Xinhua