Banjir Asia Selatan semakin memburuk

NEW DELHI, 16 JULAI – Ratusan rumah hanyut manakala tanah runtuh melanda seluruh Asia Selatan sekali gus menjejaskan jutaan penduduk dan meragut sekurang-kurangnya 180 nyawa, kata pihak berkuasa hari ini.

Musim berkenaan amat penting untuk sistem pengairan dan bekalan air di rantau miskin itu yang juga kediaman kepada 1/5 penduduk dunia serta membawa kelegaan selepas musim panas.

Namun musim tengkujuh yang bermula dari Jun hingga September boleh menjadi satu bencana dan menjejaskan India, Nepal, Bangladesh serta Kashmir di bahagian Pakistan.

Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak mati lemas di Bangladesh semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 34 termasuk 18 yang dipanah petir manakala tujuh lagi maut apabila bot dinaiki karam akibat arus deras di Teluk Bengal.

Ratusan ribu penduduk turut terjejas akibat banjir di bahagian utara dengan satu daripada sungai utama Himalaya, Brahmaputra pada paras satu meter mencecah tahap bahaya, menurut pihak berkuasa.

Di Nepal, sekurang-kurangnya 67 penduduk terbunuh walaupun banjir semakin surut dan rakaman foto menunjukkan bot-bot getah digunakan untuk membantu memindahkan mangsa banjir. Pakar kesihatan memberi amaran kemungkinan penularan wabak penyakit berkaitan air dan merayu bantuan antarabangsa.

Sementara itu hampir 50 penduduk terbunuh di India dengan dua negeri, Assam dan Bihar yang bersempadan dengan Nepal paling teruk terjejas. – AFP

Selamatkan diri…Sebuah keluarga India terpaksa naik ke atap rumah mereka yang ditenggelami banjir di Hatishila, daerah Kamrup di negeri Assam, India pada 16 Julai. Penduduk melarikan diri ke tempat tinggi ketika banjir semakin memburuk di seluruh Asia Selatan, meragut sekitar 180 nyawa setakat ini. – AFP