Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Banjir Australia boleh jejas 34,000 buah rumah

    CANBERRA, AUSTRALIA, 17 OKT – Kira-kira 34,000 rumah mungkin ditenggelami air atau tidak dapat diakses di negeri Victoria ketika darurat banjir berterusan merentasi bahagian tenggara Australia, kata seorang pegawai hari ini.

    Victoria merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan beberapa bandar mengalami puncak tertinggi paras sungai dalam beberapa dekad.

    Negeri New South Wales dan Tasmania juga mengalami banjir minggu lalu.

    Menteri Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Murray Watt berkata Victoria berdepan ‘beberapa banjir serius’ dengan lebih banyak hujan diramalkan lewat minggu ini.

    “Kemungkinan besar kita akan melihat puncak banjir berlaku dan air surut, diikuti oleh kemuncak lain, apabila sistem sungai yang berbeza bakal bersatu,” kata Watt kepada Australian Broadcasting Corp.

    Beberapa buah kereta terperangkap dalam banjir di Shepparton, Australia pada 17 Oktober. – AP

    “Jadi ini adalah situasi yang sangat serius dan laporan yang saya dapat ialah kami … mungkin melihat sehingga 9,000 rumah ditenggelami air di utara Victoria dan sekitar 34,000 rumah di Victoria berpotensi ditenggelami air atau tidak dapat diakses,” tambah Watt.

    Dua orang lemas dan dua dilaporkan hilang di Victoria dan New South Wales pada minggu lalu.

    Kematian terbaharu ialah seorang lelaki berusia 71 tahun ditemui maut pada Sabtu lalu dalam banjir di halaman belakang rumahnya di Rochester, sebuah bandar tengah Victoria kira-kira 180km utara ibu negeri Melbourne.

    Tim Wiebusch, ketua pegawai operasi di Perkhidmatan Kecemasan Negeri Victoria, menganggarkan 85 peratus daripada Rochester telah dibanjiri oleh Sungai Campaspe yang melimpah pada hujung minggu.

    Pekan Kerang di utara Victoria mungkin akan terasing sehingga tujuh hari apabila Sungai Loddon melimpah pada Rabu atau Khamis, kata Wiebusch.

    “Walaupun kita mempunyai bebe-rapa komuniti di mana sungai mula surut, masih terdapat banyak sungai dan komuniti yang terancam banjir besar dalam beberapa hari mendatang,” kata Wiebusch.

    Banyak sekolah dan jalan raya ditutup di seluruh tenggara Australia dan beribu-ribu telah berpindah dari rumah mereka. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...