Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Bekalan elektrik 10,000 pengguna terjejas

    TENOM, 23 MEI – Bekalan elektrik kepada kira-kira 7,000 pengguna di Beaufort dan 3,000 pengguna di Tenom terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah itu, kata Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Norhizami Abu Hasan.

    Beliau berkata perkara itu antara lain disebabkan 66 pencawang elektrik (PE) di daerah Beaufort dan 18 buah PE di daerah Tenom terpaksa dihenti tugas atas faktor keselamatan.

    “Kerja-kerja pemulihan bekalan akan dilaksanakan secara berperingkat apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian…umum mengetahui melakukan kerja-kerja berkaitan arus elektrik dalam keadaan cuaca buruk amat berbahaya.

    “Justeru, SESB berharap agar pengguna memahami keadaan ini dan bersabar kerana pasukan tunggu sedia akan melaksanakan pemulihan bekalan di kawasan-kawasan terjejas akibat banjir dengan segera dalam keadaan yang selamat,” katanya kepada Bernama.

    Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatatkan sedikit peningkatan apabila 4,832 orang masih berlindung di 39 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pagi ini berbanding 4,792 orang malam tadi, dengan 4,221 mangsa di Tenom dan 611 di Beaufort.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di daerah Tenom mendapati kawasan itu terjejas teruk akibat banjir yang melibatkan 33 kampung, dan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi adalah antara yang terkesan kerana tidak dapat beroperasi pada paras optimum akibat paras air sungai yang tinggi.

    Pengurus Besar (Penjanaan) SESB Jait Aziz berkata limpahan air sungai berpunca daripada hujan berterusan menyebabkan paras air sungai semakin meningkat dan pintu penghadang Stesen Jana kuasa Hidro Tenom Pangi terpaksa dibuka untuk melepaskan air dari stesen jana kuasa hidro tersebut.

    “Sebaik sahaja paras air melebihi maksimum kami terpaksa membuat pelepasan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk…saya juga ingin menyatakan operasi stesen ini akan kembali seperti sedia kala sebaik sahaja paras air kembali normal dan tidak berbahaya,” katanya. – Bernama

    Sebuah rumah yang terjejas banjir di Kampung Lama Tenom. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda