JERMAN, 16 JULAI – Angka kematian akibat banjir besar di Eropah meningkat kepada sekurang-kurangnya 126 orang hari ini, kebanyakannya di Jerman barat di mana pegawai kecemasan sedang mencari mangsa yang hilang.
Beberapa lagi dikhuatiri terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di utara Jerman hari ini yang disebabkan oleh banjir tersebut.
Ratusan masih hilang, sementara jumlah kematian di Belgium meningkat kepada 15 orang dengan lebih 21,000 orang tanpa bekalan elektrik di sebuah wilayah.
Luxembourg dan Belanda juga dilanda hujan lebat selepas paras air naik di beberapa kawasan dan memaksa ribuan orang dipindahkan di kota Maastricht.
Tetapi Jerman adalah yang paling teruk terjejas, dengan penduduk terperangkap sepenuhnya oleh arus deras yang digelar ‘banjir kematian’ oleh Harian Bild.
“Saya bimbang kita akan melihat bencana sepenuhnya pada hari-hari mendatang,” kata Canselor Angela Merkel dari Washington semalam, di mana dia bertemu dengan Presiden Joe Biden.
Jalan dan rumah ditenggelami oleh air di beberapa kawasan, sementara beberapa kereta terbalik di jalan akibat banjir. Beberapa daerah terputus bekalan sepenuhnya.
Di Ahrweiler, beberapa rumah runtuh sepenuhnya seperti kejadian selepas tsunami. Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan meninggal dunia di Euskirchen, salah satu bandar yang paling teruk terjejas di utara.
“Saya turut bersedih kepada semua orang yang dalam bencana ini kehilangan orang yang mereka sayangi, atau yang masih bimbang akan nasib orang yang masih hilang,” kata Merkel kepada wartawan di Washington. – AFP

































