GAUHATI, INDIA, 19 JUN – Banjir besar dan tanah runtuh di negeri Assam, timur laut India telah mengorbankan lapan nyawa, kata pegawai hari ini, membawa jumlah kematian kepada 62 orang setelah berminggu-minggu hujan lebat yang menyebabkan salah satu sungai terbesar melimpah tebingnya.
Agensi pengurusan bencana Assam berkata 32 daripada 35 daerah di negeri itu telah ditenggalami air ketika Sungai Brahmaputra melimpah, memindahkan lebih tiga juta orang.
Tentera India telah dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat manakala pasukan udara bersedia untuk bertugas.
Sungai Brahmaputra mengalir dari Tibet China menuju India dan masuk ke Bangladesh dalam perjalanan hampir 800km menuju ke Assam.
Hari ini, empat lagi hilang selepas sebuah bot membawa sembilan penumpang, karam di daerah Dibrugarh timur Assam, 500km timur Gauhati, bandar negeri itu.
Polis berkata operasi pencarian masih dilakukan namun mereka dihambat oleh arus deras.
Peramal kaji cuaca menjangkakan hujan akan reda selepas berlanjutan beberapa hari.
Kelmarin, Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma meninjau kawasan dibanjiri dan menggambarkan situasi itu sangat teruk.
“Kami sekarang menumpu pada usaha menyelamat dan memberi bantuan,” kata Sarma, menambah lebih 20,000 orang telah dipindahkan oleh tentera dan agensi-agensi penyelamat lainnya. – AP