BEIJING, 23 JUN – Banjir catat rekod dijangka berlaku di beberapa bahagian selatan China hari ini ketika hujan lebat menekan tahap air di delta Sungai Pearl kepada paras tertinggi dalam masa hampir satu abad.
Ratusan ribu orang telah dipindahkan dari kawasan rantau yang teruk terjejas yang termasuk wilayah Guangdong, hab pengilangan dan logistik menempatkan bandar teknologi Shenzhen, China.
Kementerian sumber air China kelmarin meletakkan amaran banjir tertinggi terhadap lembangan Sungai Pearl, mengatakan paras air di sebuah lokasi ‘mengatasi rekod sejarah’ dan bandar wilayah Guangzhou akan menerima impaknya.
Imej-imej dari bandar Shaoguan, utara Guangzhou, menunjukkan penduduk kelmarin telah meredah jalan utama yang dibanjiri, ketika air bah di beberapa kawasan setinggi paras kereta.
Air bah berlumpur membanjiri kedai-kedai dan bangunan manakala orang ramai dilihat telah membersihkan sampah sarap.
Delta Sungai Pearl yang rendah adalah rumah kepada penjana ekonomi Guangzhou dan Shenzhen, serta beberapa bandar-bandar kecil yang ramai penduduk dan menempatkan industri pengilangan utama serta lainnya. – AFP