Banjir di Daerah Tutong pulih sepenuhnya

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Keadaan cuaca yang baik dan cerah sejak beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan semua kawasan yang terjejas banjir di Daerah Tutong pulih sepenuhnya.

Menurut Jabatan Daerah Tutong, walaupun aliran air sungai keluar perlahan tetapi keadaan cuaca yang cerah dan turunan air hujan yang rendah sejak 6 September lalu telah membolehkan paras air banjir berkurangan dengan lancar serta kawasan-kawasan yang terjejas banjir sebelum ini telah kering sepenuhnya pada 10 September lalu.

Jabatan Daerah Tutong menyatakan lagi bahawa kawasan rumah penduduk kampung yang dilanda banjir telah pun kering termasuk jalan-jalan raya di kawasan Kampung Benutan, Rambai, Kampung Kuala Ungar-Bangkuru, Ukong, Panchong dan Jalan Kecil Kampung Layong yang dapat dilalui oleh kenderaan biasa.

Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak 18 Ogos lalu dan meningkatnya intensiti hujan pada 31 Ogos dan 1 September lalu telah menyebabkan kawasan pedalaman Daerah Tutong dilanda banjir.

Kesan daripadanya, paras air sungai meningkat dan melimpah di kawasan Kampung Benutan, Kampung Rambai, Kampung Ukong, Kampung Kuala Ungar-Bangkuru serta di sebahagian kawasan Kampung Panchong dan Kampung Layong yang menyebabkan beberapa buah rumah dimasuki air serta beberapa batang jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa dan pacuan empat roda.

Jalan Kuala Ungar telah pun kering sepenuhnya
Kawasan rumah penduduk kampung di Jalan Kuala Ungar-Bangkuru yang sebelum ini terjejas banjir telah pun pulih.