Banjir di Tutong mulai surut

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Hasil pemantauan yang dilaksanakan oleh Jabatan Daerah Tutong mendapati bahawa paras air banjir di beberapa kawasan di Daerah Tutong menunjukkan tanda-tanda menurun secara perlahan, hari ini.

Walaupun keadaan cuaca kembali cerah tetapi lokasi-lokasi yang dibanjiri belum menunjukkan banyak perubahan disebabkan kesan daripada aliran air sungai dari kawasan pedalaman yang bertembung dengan air pasang di sebelah laut.

Sementara itu, paras air di beberapa batang jalan di kawasan Kampung Benutan, Kampung Kuala Ungar dan Kampung Rambai telah berkurangan berbanding hari sebelumnya tetapi sebahagiannya masih belum dapat dilalui oleh kenderaan jenis salun.

Manakala itu, beberapa kawasan rendah di Kampung Penapar juga telah dinaiki air. Walau bagaimanapun, jalan utama kampung tersebut tidak terjejas dan masih dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Stesen pam-pam air yang telah dibina melalui Projek Skim Pembaikan Dataran Banjir Sungai Tutong – Pencegahan Banjir di Sebelah Hilir Sungai Tutong telah mula beroperasi untuk membantu mengurangkan kesan banjir.

Jalan raya di Kampung Penapar kini boleh dilalui semula oleh kenderaan biasa selepas kejadian banjir akibat hujan lebat yang berlaku baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
Salah sebuah rumah yang terjejas banjir.
Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei memberikan bantuan perahu kepada penduduk.

Pada masa yang sama, bantuan pengangkutan daripada pihak Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah pun disediakan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti, seperti sebuah perahu yang beroperasi bagi penduduk kampung yang memerlukan di kawasan Jalan Kecil, Kampung Layong.

Selain itu, tiga buah kenderaan jenis trak 4 tan juga disediakan bermula hari ini di Jalan Rambai-Rompou, Simpang Empat Kampung Panchong-Kuala Ungar dan Jalan Kecil Layong.
Di samping itu, mengambil kira situasi wabak COVID-19 di negara ini, adalah perlu bagi bantuan pengangkutan yang disediakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam hubungan itu, keadaan paras air banjir adalah dalam keadaan terkawal dan pihak Jabatan Daerah Tutong bersama agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, para
penghulu mukim dan ketua-ketua kampung akan terus membuat pemantauan perkembangan paras air banjir dari semasa ke semasa.

Jabatan Daerah Tutong juga mengingatkan para penduduk kampung dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa banjir ini serta sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan banjir bagi keselamatan bersama.