Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di Vietnam ragut lima jiwa

    HANOI, 1 NOV – Banjir kilat di tengah Vietnam telah mengorbankan lima orang, merosakkan ratusan rumah dan memusnahkan tanaman, kata pihak berkuasa bencana kelmarin, selepas Ribut Tropika Trami membawa hujan lebat di seluruh negara.

    Ribut Trami melanda tengah Vietnam Ahad lalu selepas membadai Filipina, di mana ia membunuh lebih 100 orang.

    Di Vietnam, ribut membawa hujan lebat yang membanjiri sungai dan memutuskan bekalan elektrik.

    Lima orang maut di wilayah Quang Binh manakala lima lagi cedera, kata Kementerian Pertanian dalam laporan dalam talian kelmarin, ketika air banjir lumpur mengalir melalui beberapa perkampungan terpencil.

    Lebih 300 rumah dan hampir 1,300 hektar tanaman musnah, tambah kementerian itu.

    Gambar yang diperoleh melalui media kerajaan menunjukkan air banjir hampir mencecah paras bumbung beberapa buah rumah satu tingkat di kawasan terpencil di Quang Binh, manakala di kawasan lain, penduduk terpaksa bertungkus-lumus membersihkan bangunan yang kotor.

    Paras air sungai di kawasan itu telah beransur-ansur surut, namun beberapa kawasan masih ditenggelami air.

    Vietnam ialah negara yang mudah terdedah kepada ribut tropika, sering mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang membawa maut, dan melanda negara itu antara Jun dan November setiap tahun. – AFP

    Gambar bertarikh 29 Oktober 2024 menunjukkan beberapa orang mendayung perahu semasa banjir di wilayah Quang Binh di tengah Vietnam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda