ISLAMABAD, 2 SEPT – Bantuan antarabangsa terus dihulur kepada Pakistan yang dilanda banjir ketika angka kematian melonjak melepasi 1,200 orang setakat hari ini manakala ribuan keluarga dan kanak-kanak berisiko dijangkiti penyakit dan kehilangan tempat tinggal.
Penerbangan kesembilan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan yang pertama dari Uzbekistan yang membawa bantuan kemanusiaan adalah yang terbaharu mendarat di Islamabad ketika operasi menyelamat yang disokong tentera di bahagian lain di negara itu mencapai lebih daripada 3 juta orang yang terjejas akibat bencana itu.
Dua lagi pesawat dari UAE dan Qatar dengan bantuan akan tiba di Pakistan lewat hari ini, dan sebuah kereta api Turki membawa barangan bantuan untuk mangsa banjir sedang dalam perjalanan ke negara miskin itu, menurut Kementerian Luar.
Sementara itu, delegasi Turki yang diketuai oleh Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu bertemu dengan Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif untuk menyampaikan ucapan takziah kepadanya atas kerosakan akibat banjir. – AP
