Banjir hospital ragut 17 nyawa

BANDAR MEXICO, 8 SEPT – Sekurang-kurangnya 17 pesakit maut selepas sebuah hospital di tengah Mexico dilanda banjir, mengakibatkan bekalan elektrik dan oksigen terjejas.

Kemudahan di bandar Tula di negeri Hidalgo itu dibanjiri selepas air sungai berdekatan melimpahi tebing susulan hujan lebat, menurut jurucakap kerajaan menerusi Twitter.

Pengurus Besar Institut Keselamatan Sosial Mexico, Zoe Robledo, yang menguruskan hospital berkenaan, berkata air yang naik sekelip mata menyebabkan bekalan elektrik dan oksigen terputus.

“Baki 40 pesakit yang terselamat dibawa ke hospital lain termasuk mangsa COVID-19 yang memerlukan bekalan oksigen untuk hidup,” katanya.

Kerajaan turut mengerahkan anggota tentera selain kakitangan jabatan bekalan tenaga bagi membantu mangsa di Tula, yang paling teruk terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda sebahagian besar Mexico.

Dua mangsa dilaporkan maut di Ecatepec, pinggir Bandar Mexico, di mana banjir mengakibat jalan berubah menjadi sungai. – AFP

Kakitangan perubatan memindahkan seorang pesakit Hospital IMSS di Tula de Allende, negeri Hidalgo, Mexico pada 7 September 2021. Sekurang-kurangnya 17 pesakit maut selepas banjir melanda sebuah hospital di tengah Mexico. – AFP