Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Banjir: Ibu kota Thailand tingkat waspada

    BANGKOK, 5 OKT – Pihak berkuasa di Thailand memberi amaran hari ini mengenai kemungkinan banjir teruk yang akan melanda ibu kota dan bahagian lain di rantau tengah itu akibat hujan lebat bermusim yang dijangkakan hingga hujung minggu.

    Situasi itu diburukkan oleh sejumlah air bah yang bergerak ke hilir sungai daripada banjir di wilayah utara dan pelepasan air dari empangan yang melimpah daripada kapasitinya.

    Bangkok telah mengalami banjir sejak Isnin ketika hujan lebat mencurah-curah di bandar itu, dengan kira-kira 16 sentimeter direkodkan di satu kawasan dalam tempoh 24 jam.

    Bagaimanapun, banjir telah surut di kebanyakan kawasan pada pagi ini.

    Pegawai bandar berkata mereka mengambil beberapa langkah untuk menghadapi banjir, termasuk meletakkan beg pasir di sepanjang tebing sungai, menyediakan pam air di terowong saliran, dan menyediakan trak tentera bersiap sedia untuk mengangkut penumpang.

    Timbalan Gabenor Bangkok Tawida Kamolvej berkata jika paras hujan tinggi dalam beberapa hari akan datang, banyak kawasan akan terdedah kerana ia akan mengambil masa berjam-jam untuk mengalirkan air ke Sungai Chao Phraya yang sudah melimpahi bandar tersebut.

    “Jika perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja berdepan kesukaran, kami akan meminta syarikat dan agensi supaya bersikap fleksibel mengenai waktu bekerja, atau jika boleh, mempertimbangkan bekerja dari rumah untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata Tawida semasa sidang akhbar.

    Banyak bahagian di Thailand sudah dibanjiri akibat hujan monsun bermusim apabila sisa-sisa Ribut Tropika Noru, yang sebelum ini melanda Filipina dan Vietnam, membadai pada minggu terakhir September.

    Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata lebih 41,000 isi rumah dan kira-kira 22 wilayah masih terjejas banjir, walaupun keadaan bertambah baik di beberapa bandar seperti Chiang Mai. – AP

    Seorang penduduk meredah banjir di wilayah Ubon Ratchatchani, Thailand pada 5 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...