WELLINGTON, 5 FEB – Banjir teruk memaksa ribuan penduduk di South Island New Zealand untuk berpindah dari rumah mereka hari ini dan mengakibatkan ratusan pelancong terkandas di kawasan terpencil berpemandangan indah, Milford Sound.
Rantau Southland mengumumkan kecemasan darurat selepas dibanjiri dengan lebih 1,000mm hujan dalam masa 60 jam, mencetuskan tanah runtuh di jalan-jalan besar dan mengakibatkan sungai melimpahi tebingnya.
Pihak berkuasa memberitahu penduduk di kawasan rendah Gore dan Mataura untuk berpindah awal hari ini ketika limpahan air banjir di sungai Mataura semakin meningkat, memberi amaran kepada penduduk di Wyndham untuk sedia berpindah.
“Kami telah mengeluarkan notis pengosongan dan bersiap sedia untuk memindahkan 6,000 orang di seluruh rantau,” kata jurucakap Pengurusan Kecemasan Southland (EMS) kepada AFP.
Penduduk dinasihatkan untuk membawa ubat-ubatan, pakaian dan dokumen identifikasi, kemudian menuju ke lapangan tinggi.
Bekalan elektrik di kawasan terjejas telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan pusat pemindahan disediakan di gereja dan sekolah-sekolah.
Limpahan air telah menghanyutkan sebahagian jalan menuju ke Milford Sound, kawasan pendakian popular bagi pelancong antarabangsa, dan EMS berkata hampir 200 orang dibawa menggunakan helikopter ke kawasan berhampiran Te Anau. – AFP





























