Sunday, February 5, 2023
23.7 C
Brunei

-

Banjir kilat hanyutkan rumah, kereta

SYDNEY, 16 NOV – Keseluruhan binaan telah dihanyutkan oleh banjir kilat yang menenggelami bandar kecil Australia yang pegawai pengurusan bencana hari ini menyifatkan bah besar itu sebagai ‘limpahan air’.

Bandar Eugowra yang terletak kira-kira 350 kilometer ke barat Sydney dibanjiri Isnin lalu, hingga sukar untuk menilai tahap kerosakan berikutan kediaman dan bangunan masih diselaputi lumpur tebal.

Pantai timur Australia dalam tempoh dua tahun ini berulang kali dilanda hujan lebat, didorong oleh kitaran berturut-turut fenomena La Nina.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan New South Wales (NSW), Steve Hall, berkata banjir kilat berulang di beberapa tempat ketika pasukan itu melakukan kerja menyelamat di bandar yang dihuni kira-kira 800 penduduk itu.

“Semua harta benda penduduk musnah diselaputi lumpur, namun mereka kembali untuk membersihkan sisa banjir dengan perasaan sedih, kecewa, kehilangan, marah dan pelbagai lagi,” katanya.

Penduduk yang terkandas dilihat berkumpul di atas bumbung ketika arus banjir memuncak pada petang Isnin, sebelum mereka diselamatkan oleh helikopter penyelamat.

Ahli parlimen tempatan, Andrew Gee, berkata banyak kenderaan dan binaan hanya tinggal tapak di bandar Eugowra berikutan dihanyutkan arus hingga serpihan itu menutupi jalan.

“Penduduk mengatakan ‘tsunami’ akan menimpa mereka,” katanya kepada stesen penyiar kebangsaan negara itu, ABC.

Pada malam Ahad lalu, tebing empangan Wyangala pecah berikutan hujan lebat, mengalirkan kira-kira 230,000 megaliter air ke kawasan tadahan air dekat Eugowra keesokan harinya.

Penduduk pekan Forbes yang terletak kira-kira 40km ke barat Eugowra dipindahkan ketika banjir mula melimpahi sistem pengairan sungai.

Seramai 14 orang diselamatkan selepas Motel Plainsman di Forbes dinaiki air petang semalam. Ini juga kali kedua Forbes dilanda banjir sejak banjir pertama dua minggu lalu. – AFP

Gambar bertarikh 14 November menunjukkan pegawai melakukan kerja-kerja menyelamat di bandar dibanjiri dekat Empangan Wyangala, Cowra, Australia. – AFP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -