JAKARTA, 27 OGOS – Kerajaan Indonesia berkemungkinan mempertimbangkan untuk menempatkan semula penduduk yang tinggal di zon berbahaya di wilayah Maluku Utara selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan itu baru-baru ini, mengorbankan 19 orang, kata seorang menteri kerajaan hari ini.
Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy menegaskan bahawa kawasan yang dilanda bencana khususnya di bandar Ternate sudah lama terdedah kerana laluan air dan laluan bahan gunung berapi dari Gunung Gamalama.
Jelasnya, keadaan sebegitu telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu, menjadikan pemindahan penduduk dari kawasan tersebut perlu bagi mengelak bencana-bencana selanjutnya.
Effendy membuat kenyataan itu semasa melawat Ternate, bandar yang paling teruk dilanda banjir kilat dan tanah runtuh pada Ahad.
Bencana itu menyebabkan lapan orang cedera dan menyebabkan kemusnahan besar kepada rumah-rumah dan infrastruktur.
“Untuk mengelak kejadian berulang, kawasan ini mesti ditetapkan sebagai zon bukan kediaman,” kata Effendy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Pengurusan Bencana dan Mitigasi Negara (BNPB).
Beliau menambah, mereka yang kini tidak terjejas tetapi tinggal di zon bahaya juga mungkin perlu dipindahkan untuk keselamatan mereka. – Xinhua