Banjir kilat jejas hasil pertanian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Hujan lebat kebelakangan ini telah menyebabkan banjir kilat berlaku yang bukan sahaja menjejaskan kediaman-kediaman di kawasan rendah malah ladang-ladang pertanian sekali gus menyebabkan kerugian kepada pemilik.

Sebuah ladang di Lot 73, Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batumpu, Syarikat Arzy Enterprise adalah antara yang terjejas disebabkan kawasan ladang ditenggelami air dan merosakkan banyak tanaman.

Sebuah lagi ladang milik Syarikat Pengiran Hj Kamarulariffin & Anak-anak di Lot 118, KKP Batumpu turut menghadapi cabaran banjir kali kedua dalam tahun ini.

Antara jenis tanaman yang terjejas adalah jagung dan kacang bendi, malah batas tanaman lain juga tidak dapat diisikan tanaman kerana keadaan tanah yang terlalu lembap.

Situasi ini setentunya merugikan para peladang di samping turut memberikan impak terhadap keseluruhan keluaran hasil ladang pertanian di negara ini.

Salah satu kawasan ladang ditenggelami air yang menyebabkan banyak tanaman rosak.
Air banjir bergenang di ladang pertanian sayur-sayuran di KKP Batumpu, Kampung Masin selepas hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat baru-baru ini. -Gambar oleh Yusrin Junaidi.

Awang Zulkhairi bin Haji Johari dari Syarikat Pg Kamarularriffin Agriculture Farm ketika dihubungi Media Permata berkata, kawasan kebun Betumpu adalah kawasan rendah dan berasal daripada tanah paya.

Menurutnya, kejadian banjir di kebun itu memang sering terjadi sejak 1998 setiap kali musim hujan dan menyebabkan kerugian.

Beliau berkata, setakat ini syarikat berkenaan telah mengalami kerugian sekitar $1,000 hingga $2,000 dan kerja-kerja penanaman sayur harus diulang semula dan ini akan memakan waktu yang agak lama untuk mendapatkan keuntungan.

Pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, tambah beliau, memang telah banyak memberi bantuan dari segi nasihat, taklimat dan pembersihan longkang untuk mengurangkan kejadian banjir, akan tetapi disebabkan anak sungai tidak cukup besar untuk menampung jumlah air hujan, kejadian banjir terus berlaku.

Dalam usaha bagi membantu meringankan beban para peladang tempatan terutamanya dalam situasi semasa, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan terus giat membuat tinjauan untuk melihat secara lebih dekat situasi banjir ke ladang-ladang pertanian berkenaan.

Kerja-kerja penambahbaikan seperti menaik taraf infrastruktur sistem pengairan dan saliran di KKP terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.