Banjir kilat ragut 15 nyawa, puluhan lagi hilang

MAKASSAR, INDONESIA, 14 JULAI – Sekurang-kurangnya 15 orang maut dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas banjir kilat mengakibatkan beratus-ratus rumah tertimbus dalam lumpur di pulau Sulawesi, Indonesia, menurut pihak berkuasa.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bagi mencari orang yang hilang dikhuatiri dihanyutkan banjir dan lumpur selepas tiga buah sungai di kawasan Luwu Utara melimpah tebing akibat hujan lebat, agensi mitigasi bencana pulau itu menjelaskan.

“Setakat petang ini, kita menerima laporan daripada penduduk tempatan yang mengatakan sanak saudara mereka hilang. Terdapat puluhan orang hilang kesemuanya,” kata ketua agensi mitigasi bencana Luwu Utara, Muslim Muchsin.

Beratus-ratus rumah dan juga pejabat kerajaan serta kemudahan awam turut terbenam dalam lumpur pada paras tiga hingga lima meter.

“Kita hanya dapat melihat bumbung rumah-rumah dari kejauhan,” tambah Muchsin. Seramai 2,000 penduduk berlindung di tempat perlindungan sementara di Luwu Utara, menurut agensi itu, namun banjir dan lumpur menghambat usaha mengagihkan bekalan.

“Sekarang kami memfokuskan usaha untuk membersihkan kotoran yang melitupi jalan agar kita boleh membuka akses ke tapak itu untuk memudahkan pengangkutan,” tambah Muhsin.

Penduduk kawasan Luwu Utara, Indah Putri Indriani mengatakan 15 orang ditemui mati oleh penyelamat hari ini. – AFP

Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa yang maut dalam banjir di kampung Radda, di kawasan Luwu Utara, di Sulawesi Selatan, 14 Julai. Sekurang-kurangnya 15 maut dalam kejadian banjir dan lumpur di sana, menurut pihak berkuasa. – AFP